Gaji minima RM1,500 sepatutnya dikuatkuasakan untuk semua pekerja serentak, kata SPCAAM

 

Gaji minima RM1,500 sepatutnya dikuatkuasakan untuk semua pekerja serentak, kata SPCAAM

 

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dibidas susulan tidak menguatkuasakan sepenuhnya gaji minimum RM1,500 kepada semua pekerja bermula bulan ini.

Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) J Solomon berkata, gaji minima perlu dibayar kepada semua pekerja dan bukannya memberi peluang majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.

“Saya nasihatkan KSM, bila keluarkan satu formula untuk kira gaji minima, gunalah formula tu.

“Bila tak guna formula tu, apa guna ada formula gaji minima dan Majlis Perundingan Gaji Negara kerana semua yang hadir dalam majlis itu (berpangkat) professor, kira gaji minima melalui ‘wage policy’,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian SPCAAM di Pejabat NUBE Kuala Lumpur.

Solomon berkata demikian merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkaitan penangguhan gaji minimum kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan.

Sementara itu, Solomon berkata Malaysia masih belum mencapai tahap membanggakan berkaitan perlindungan sosial pekerja berdasarkan aduan yang dibuat kepada Kementerian Sumber Manusia.

“Pekerja di Malaysia walaupun mereka ditindas majikan, tapi tak dapat perlindungan sosial daripada KSM. Kalau KSM ambil tindakan segera dan efektif kita tak akan lihat ribuan aduan daripada pekerja atau kesatuan kepada KSM… itu yang dilapor dan berapa ribu lagi tidak dilapor,” katanya.

Justeru, Solomon berkata SPCAAM bertindak sebagai pemudahcara dan badan penasihat perlindungan sosial yang berkesan untuk semua yang menetap di Malaysia terutamanya para pekerja tanpa mengira jawatan, kedudukan dan negara asal.

“Perlindungan sosial adalah mengenai setiap rakyat Malaysia yang mempunyai akses kepada kemudahan perubatan, perumahan dan pekerjaan.

“Kita perlu membantu melindungi mereka, menyediakan perlindungan yang cukup membina. Kita perlu melakukan sesuatu, ia akan bermula dari sini,” katanya.