Pindaan RUU Kesatuan Sekerja Bakal Lemahkan Hak Pekerja di Malaysia

 

Pindaan RUU Kesatuan Sekerja Bakal Lemahkan Hak Pekerja di Malaysia

 

 

Abang Mat bekerja sebagai seorang kerani di sebuah bank di Malaysia. Beliau telah bekerja selama lebih 20 tahun. Setiap tahun, beliau akan menerima kenaikan gaji yang adil dan manfaat-manfaat lain seperti pinjaman tanpa faedah dengan nilai yang tinggi. Manfaat pekerjaan ini bukanlah ditetapkan oleh majikan. Akan tetapi, ianya ditetapkan melalui desakan dari Kesatuan Sekerja yang disertai oleh Abang Mat. Manfaat pekerjaan yang diperolehi oleh Abang Mat ini adalah hasil rundingan bersama yang berlaku antara pihak majikan dan juga Kesatuan Sekerja. Malah, bukan Abang Mat seorang sahaja yang menerima manfaat pekerjaan ini, malah rakan-rakan sekerja Abang Mat yang tidak mendaftarkan diri sebagai ahli Kesatuan Sekerja juga turut menerima manfaat ini.

Situasi di atas adalah salah satu contoh bagaimana Kesatuan Sekerja yang kuat dan bersatu padu dapat membantu pekerja, terutama sekali pekerja bawahan yang tidak mempunyai suara dan seringkali ditindas oleh majikan. Di peringkat global, Kesatuan Sekerja yang kuat dapat meningkatkan gaji pekerja dengan lebih tinggi serta mengurangkan jurang pendapatan yang wujud dalam sesebuah organisasi dan ekonomi.[1] Malah, Kesatuan Sekerja juga mampu memastikan pekerja menerima gaji yang setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.[2]

Malangnya, di Malaysia, Kerajaan seolah-olah ingin melemahkan lagi Kesatuan Sekerja. Pada 10 Oktober 2023, Dewan Rakyat telah meluluskan sebuah RUU yang akan melemahkan lagi kuasa Kesatuan Sekerja. RUU yang dimaksudkan ialah RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023.

Pindaan ini dibuat konon-kononnya bagi memberi kebebasan kepada pekerja untuk memilih mana-mana Kesatuan Sekerja yang mereka mahu sertai. Akan tetapi, apa yang akan berlaku ialah kebebasan ini akan menyebabkan Kesatuan Sekerja dan para pekerja menjadi berpecah belah. Hal ini kerana Pindaan ini akan membenarkan lebih banyak Kesatuan Sekerja (Kepelbagaian Kesatuan Sekerja) diwujudkan di dalam sesebuah tempat kerja yang sama. Akibatnya, akan lahir lebih banyak Kesatuan Sekerja yang bersifat mesra majikan. Malah, lebih buruk lagi apabila ada sesetengah Kesatuan Sekerja ini mungkin hanya sekadar menjadi boneka kepada majikan, sekali gus melemahkan kuasa pekerja untuk berunding dengan pihak majikan.

Bagi menjustifikasikan Pindaan ini, Kerajaan telah menjual cerita dongeng dengan menunggang Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 87 yang mana kononnya pekerja harus diberi “Kebebasan dalam Berpersatuan”. Namun, Kerajaan dilihat sengaja buat-buat lupa bahawa konvensyen antarabangsa ini tidak pernah menyatakan bahawa pelbagai Kesatuan Sekerja boleh diwujudkan sehingga melemahkan kuasa pekerja untuk berunding dengan pihak majikan. Ia juga akan menyebabkan pekerja akan terus ditekan supaya menurut apa sahaja permintaan majikan, termasuklah kenaikan gaji yang rendah dan tidak setimpal serta manfaat pekerjaan yang terhad.

Ini tidak lain tidak bukan adalah satu cerita khayalan dari Kerajaan yang ternyata hanyalah akan melemahkan kuasa pekerja. Oleh itu, Pindaan ini harus ditentang habis-habisan demi memelihara nasib golongan pekerja.

Lebih menyedihkan lagi, Wakil Rakyat di parlimen yang diundi oleh rakyat seolah-olah tidak kisah langsung tentang nasib yang akan menimpa golongan pekerja, terutamanya golongan pekerja bawahan. Kita mempunyai 222 Ahli Parlimen. Namun, hanya kira-kira 20 Ahli Parlimen sahaja yang hadir ketika RUU ini dibentangkan pada 10 Oktober yang lepas. Ini bermakna majoriti Ahli Parlimen yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat (yang rata-ratanya terdiri dari golongan pekerja) telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Sudahlah tidak ramai Ahli Parlimen yang hadir, malah kesemua 20 Ahli Parlimen yang hadir ini hanya bersetuju dengan RUU ini tanpa sebarang bantahan. Adakah Ahli Parlimen sedar tentang implikasi RUU ini terhadap rakyat yang sepatutnya mereka jaga? Adakah Ahli Parlimen sebenarnya kisah tentang nasib rakyat? Nampaknya tidak.

Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana hendak mengukuhkan lagi Kesatuan Sekerja, bukannya melemahkan dan memecahbelahkan lagi Kesatuan Sekerja. Memandangkan nasib dan keadaan pekerja sekarang sudah teruk, ditambah dengan isu-isu seperti peningkatan kos sara hidup, maka tiada keperluan untuk Kerajaan memburukkan lagi keadaan dengan terus menafikan hak pekerja.