BENARKAN PEKERJA PILIH HAD UMUR BERSARA, kata NGO

 

BENARKAN PEKERJA PILIH HAD UMUR BERSARA, kata NGO

 

 

Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia berkata, jangka hayat penduduk negara ini lebih panjang menyebabkan mereka sukar menyara hidup tanpa sumber pendapatan tetap.

FMT Reporters - 09 Apr 2023, 2:11pm

PETALING JAYA: Pekerja perlu diberi pilihan umur bersara, sama ada 60 atau 65 tahun bagi menamatkan perdebatan mengenai had umur bersara yang ditetapkan pada 60 tahun ketika ini.

Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) berkata, kakitangan sektor swasta yang bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara, perlu dibenarkan bekerja lebih lama kerana jangka hayat manusia ketika ini lebih panjang berbanding dahulu.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus, berkata pendekatan itu wajar memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah krisis sosioekonomi serius terhadap bakal pesara dan pesara, ekoran laporan KWSP baru-baru ini bahawa 51.5% ahlinya bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000.

“Tempoh hidup manusia pada masa sekarang lebih lama berbanding dahulu, dan sukar untuk menyara diri dari segi ekonomi selepas bersara.

“Apabila orang ramai tidak bekerja secara bergaji dan tidak mempunyai simpanan cukup untuk menyara diri dari segi ekonomi sebaik saja mereka bersara, tekanan itu dirasai secara peribadi dan lebih umum oleh ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau berkata, SPCAAM mencadangkan pekerja dibenarkan bekerja sehingga 65 tahun atas kerelaan sendiri dan tidak boleh dipaksa bersara.

Malah, katanya, mereka yang memilih terus bekerja melebihi 60 tahun tidak harus melibatkan pekerjaan secara kontrak bagi mengelakkan amalan mengeksploitasi pekerja berusia.

“Dengan cara ini, pekerja boleh bekerja melebihi 60 tahun dan sehingga 65 tahun, mengurangkan tekanan ekonomi pada diri dan negara secara keseluruhan,” katanya yang berpendapat ia wajar dilaksanakan sektor awam dan swasta.

“Perniagaan juga mendapat manfaat jika cadangan sedemikian dilaksanakan kerana mereka akan mempunyai akses kepada tenaga kerja berpengalaman untuk jangka masa lebih lama.”

Sebelum ini, wakil dan pengurus negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia mencadangkan kerajaan meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan status Malaysia sebagai negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beberapa kesatuan pekerja, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melihat tiada keperluan mendesak kerajaan meningkatkan had minimum usia persaraan sedia ada.

https://www.freemalaysiatoday.com/.../benarkan-pekerja.../