SPCAAM: Kita perlu rasa malu dengan pendedahan KWSP

 

SPCAAM: Kita perlu rasa malu dengan pendedahan KWSP

 

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) berkata rakyat Malaysia dari semua peringkat dan fahaman mesti berasa malu dengan pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa 44 peratus pencarum aktif dalam sektor formal ekonomi berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

Penasihat Buruh SPCAAM, Callistus Antony D Angelus berkata gaji sara hidup dianggarkan RM2,700 sebulan manakala sektor ekonomi tidak formal, yang pesertanya berpendapatan purata kurang daripada sektor formal, berada dalam keadaan yang lebih teruk.

“Boleh dianggarkan lebih separuh daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada gaji sara hidup,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, keadaan itu memalukan, dan disebabkan, terutamanya oleh penyelewengan, ketamakan, rasuah dan penyalahgunaan oleh elit politik dan perniagaan negara.

“Ia telah dibiarkan terlalu lama, dan satu-satunya cara untuk perubahan ialah rakyat negara ini mengambil semula kuasa daripada elit politik dan perniagaan.

“Pergerakan massa rakyat melalui pelbagai bentuk penentangan awam diperlukan untuk mencabar status quo,” kata beliau.

Menurut beliau, Malaysia turun ke dalam gelanggang demokrasi “pilihan raya sahaja”.

“Kecuali membuang undi sekali setiap empat hingga lima tahun, oligarki kecil memerintah negara,” kata beliau sambil menambah, ramai daripada mereka yang terlibat dalam pentadbiran korup, yang menjadikan Malaysia terkenal di dunia sebagai rejim kleptokrasi, telah menafikan rakyat biasa Malaysia daripada memperoleh gaji sara hidup dan menikmati harta rampasan kejayaan ekonomi negara.

Beliau seterusnya berkata, institusi seperti bank pusat, Bank Negara, tidak campur tangan apabila bank asing memberhentikan pekerja dan hanya membayar mereka kadar minimum seperti yang dijamin oleh undang-undang sedangkan bank terbabit mengaut keuntungan berbilion dolar selama ini.

“Dalam menangani keadaan yang sama, bank pusat di negara lain bercampur tangan untuk memaksa bank asing yang sama membayar pekerja yang terjejas berkali-kali ganda daripada yang diterima oleh rakan mereka di Malaysia.

“Institusi Malaysia dipandang remeh, dan mudah dilanggar oleh syarikat asing. Ini adalah rasuah dalam bentuk yang paling teruk, dan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat yang sepatutnya mereka jaga,” katanya.

Ujar beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di jalan yang betul dalam memulakan agenda reformasi, walaupun beliau tidak boleh melakukannya sendirian.

“Rakyat mesti bangkit dan menentang, dan dengan cara itu jalan reformasi akan dipercepatkan.

“Di mana rakyat Malaysia dieksploitasi oleh mana-mana pertubuhan, sama ada tempatan atau asing, boikot besar-besaran terhadap pertubuhan sedemikian adalah salah satu cara tekanan yang boleh dikenakan untuk menyelesaikan isu-isu terbabit.

“Organisasi masyarakat sivil harus bersatu dan bertindak secara serentak untuk memerangi eksploitasi seumpama itu,”kata beliau.

Katanya lagi, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan kekayaan itu harus diagihkan secara saksama.

“Budaya kleptokrasi hanya boleh ditamatkan dengan tindakan yang menyeluruh dan bersepadu oleh semua rakyat Malaysia yang tidak mengira diri mereka dalam kalangan elit politik dan perniagaan yang mengeksploitasi Malaysia dan rakyatnya,” kata beliau.