32,000 lagi dijangka muflis jika OPR terus naik, kata persatuan

 

32,000 lagi dijangka muflis jika OPR terus naik, kata persatuan

 

 

PETALING JAYA: Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menjangkakan 32,000 lagi peminjam akan muflis dalam tempoh dua tahun akan datang sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) terus dinaikkan.

Presiden 4PM, Rosland Mohd Ariff berkata jangkaan itu merupakan pertambahan 70% daripada jumlah peminjam muflis sedia ada, yang sehingga kini sudah lebih 46,000 orang ekoran tidak mampu membayar pinjaman disebabkan pandemik Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup.

Rata-rata mereka yang muflis ini membuat pinjaman kereta, peribadi mahupun perumahan, dan turut membabitkan penjawat awam, katanya.

“Jika OPR terus dinaikkan, rakyat akan terus ‘ditekan’ untuk menambah bayaran ansuran pinjaman sehingga menyebabkan mereka yang seawal usia 25 tahun akan lebih ramai diisytihar muflis,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Bank Negara pada 11 Mei menaikkan OPR daripada 1.75% kepada 2%, dan kepada 2.25% pada 6 Julai.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan tidak boleh menyelaras keputusan kenaikan OPR tersebut kerana bercanggah dengan undang-undang selain boleh menjejaskan integriti pasaran.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff di Putra Business School berkata, tindakan BNM itu memberi kelebihan kepada bank-bank konvensional yang diramal bakal meraih keuntungan sekitar RM30 billion tahun ini.

“Pada 2019, keuntungan sembilan bank konvensional yang tersenarai di bursa saham RM35 billion, namun, pada 2020 keuntungan menurun kepada RM26 billion.

“Dengan kenaikan OPR yang diramal terus naik lagi pada September nanti, sembilan bank konvensional tersebut dijangka boleh mencatat kenaikan keuntungan mencecah RM30 billion,” katanya.