RUU Pekerja Gig 2025: Peranan dan Keterlibatan MTUC Penting Bagi Melindungi Hak Pemandu E-Hailing dan Penghantar P-Hailing

 

RUU Pekerja Gig 2025: Peranan dan Keterlibatan MTUC Penting Bagi Melindungi Hak Pemandu E-Hailing dan Penghantar P-Hailing

 

 

Kami, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Penghantar E-Hailing dan E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Kedah dan Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) atas sokongan berterusan terhadap usaha kami agar pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 ditangguhkan.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, permohonan penangguhan ini bukanlah satu penolakan terhadap usaha murni kerajaan dalam memperkenalkan undang-undang yang dapat membela nasib pekerja gig, khususnya pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing. Sebaliknya, kami percaya bahawa RUU ini perlu diperhalusi dan ditambah baik, termasuk dari segi proses libat urus dan kerangka dasarnya, agar benar-benar mencerminkan kepada keperluan dan realiti semasa pekerja gig di lapangan.

Untuk makluman, kami telah menjalinkan kerjasama erat bersama MTUC sejak tahun 2021. MTUC, sebagai Pusat Buruh Kebangsaan yang berpengalaman luas dalam perundangan buruh, telah lama memainkan peranan penting dalam melindungi hak-hak pekerja di Malaysia. Bahkan, MTUC turut diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berpangkalan di Geneva.

Sumbangan MTUC dalam membantu kami tidak boleh disangkal. Antara inisiatif yang melibatkan kerjasama rapat kami dengan MTUC termasuklah:

i. Penyerahan memorandum kepada beberapa syarikat penyedia perkhidmatan dan kementerian berkaitan.

ii. Penyertaan dalam sesi perbincangan penting di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada tahun 2022.

Berdasarkan segala pengalaman dan komitmen MTUC selama ini, kami berpandangan bahawa keterlibatan MTUC dalam pembangunan kerangka dasar RUU Pekerja Gig 2025 adalah sangat penting dan tidak wajar dipertikaikan. Pandangan serta gesaan MTUC agar pembentangan RUU ini ditangguhkan adalah tepat dan berasas, demi memastikan undang-undang yang bakal diperkenalkan benar-benar memberi manfaat dan perlindungan menyeluruh kepada komuniti pekerja gig, termasuk kepada Rakan-Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing.

Kami kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan MTUC dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pemandu e-hailing serta penghantar p-hailing di seluruh negara.

12 September 2025

1. Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia

(PPM-020-10-04082020)

2. Persatuan Rakan Penghantar Melaka

(PPM-020-04-30062021)

3. Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah

(PPM-012-12-27062022)

4. Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak

(PPM-004-08-28082021)

5. Persatuan Rakan Penghantar Kedah

(PPM-021-02-05092022)