OPR naik 25 mata asas, kali ke-2 sejak Mei

 

OPR naik 25 mata asas, kali ke-2 sejak Mei

 

 

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25% dalam mesyuarat dasar monetari (MPC) keempatnya minggu ini ketika negara berdepan kenaikan harga barangan dan tenaga.

Pada Mei, bank pusat itu menaikkan OPR kepada 2% daripada 1.75%, yang dilaporkan paling rendah pernah direkodkan, berikutan pengurangan 25 mata asas pada Julai 2020, memetik kemerosotan ekonomi global akibat pandemik dan penguncupan aktiviti ekonomi Malaysia.

Susulan itu, kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing meningkat kepada 2.50% dan 2.00%.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan BNM hari ini, bank pusat itu berkata pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Walau bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

“Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” menurut kenyataan itu.

Pada masa hadapan, BNM mengunjurkan kadar pertumbuhan global menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan.

Bagi ekonomi Malaysia, bank pusat itu berkata kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini.

Selain itu, penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

“Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan oleh rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.

“Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun,” katanya.

Namun, BNM berkata risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.