ULASAN | Pinda Akta Kesatuan Sekerja buka ruang majikan musnahkan kesatuan

 

ULASAN | Pinda Akta Kesatuan Sekerja buka ruang majikan musnahkan kesatuan

 

 

ULASAN | Akta Kesatuan Sekerja 1959 merupakan antara undang-undang buruh yang lama digunakan di negara ini. Satu lagi adalah Akta Kerja 1955.

Terdapat juga Akta Perhubungan Perusahaan yang lazimnya diaplikasikan bersama dengan harapan akan menyumbang kepada pemeliharaan hubungan harmoni di tempat kerja.

Kesatuan sekerja selaku antara pemegang taruh utama, dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja, senantiasa memberi keutamaan kepada kewujudan persekitaran yang harmoni di tempat kerja, yang amat penting bagi manfaat bersama.

Dengan harapan itu, kami meletakkan harapan usaha meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 akan menyumbang kedudukan lebih baik daripada segi kewujudan kesatuan yang bebas di tempat kerja, dan pada masa yang sama dapat menyumbang kepada pemeliharaan perhubungan industri yang harmoni di tempat kerja.

Malangnya harapan itu berhadapan dengan kekangan terbaharu.

Landskap kesatuan sekerja dikejutkan dengan bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 pada 24 Mac lalu, beberapa hari sebelum sidang Parlimen Mac menutup tirai.

Detik itu sememangnya mengejutkan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja. Ini kerana RUU ini dibawa ke Dewan Rakyat tanpa sebarang perbincangan dengan kesatuan sekerja.

Sebab Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah tergesa-gesa itu kekal misteri.

Kesatuan sekerja yang mengambil bahagian membantah cadangan pindaan kepada RUU untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 kerana beberapa sebab.

RUU ini jika dilulus dan dilaksanakan kelak akan memperkenalkan Kepelbagaian Kesatuan Sekerja dan menambah luas kuasa Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja.

Pada 9 Jun lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengeluarkan pekeliling meminta kesatuan gabungannya memberikan pendapat dan ulasan anggota gabungan berkenaan dengan RUU yang dibacakan kali pertama pada 24 Mac lalu. Pada masa yang sama Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) dibentuk untuk mendapatkan pandangan.

Setakat ini lebih 40 kesatuan individu dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), yang dianggotai lebih 100 kesatuan, membuat pendirian satu suara untuk membantah RUU Kesatuan Sekerja.

Tiada dialog, kekal misteri

CAMU berpandangan keengganan untuk berunding dengan kesatuan sekerja dalam meminda RUU merupakan tindakan rejim yang zalim.

Hakikatnya, keputusan tidak merujuk MTUC, selaku pemegang kepentingan utama, yang mempunyai kepentingan langsung dalam pindaan ini, sebelum bacaan kali pertama RUU Kesatuan Sekerja, bercanggah secara langsung dengan prinsip Perundingan Tiga Pihak C144 yang telah diratifikasikan oleh Malaysia pada 14 Jun 2002.

Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), badan tiga pihak negara yang sepatutnya mengadakan perbincangan tetap antara tiga pihak berkepentingan iaitu Kerajaan, Majikan dan Kesatuan Sekerja. NLAC tidak bermesyuarat selama dua tahun. Secara langsung cadangan RUU tidak dibawa ke meja perbincangan NLAC.

Persoalan mengapa tindakan ini diambil tanpa dialog dengan pemegang taruh utama masih kekal misteri.

Selain itu, kerajaan telah gagal menjalankan Analisis Impak Peraturan (RIA) sebelum membentangkan cadangan pindaan kali ini. RIA, yang dikeluarkan pada 15 Julai 2013 oleh Kerajaan sendiri, telah menetapkan bahawa sebarang cadangan peraturan baharu atau pindaan peraturan akan melibatkan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

Kami, CAMU, membantah cadangan untuk memperkenalkan Kepelbagaian Kesatuan Sekerja atau 'Multiplicity of Unions' ke dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Peruntukan membenarkan bilangan kesatuan sekerja, atas nama Kepelbagaian Kesatuan Sekerja, yang tidak terhad dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama/serupa akan mempunyai kesan memudaratkan ke atas kesatuan sekerja di Malaysia, iaitu suara bersatu ahli kesatuan sekerja akan menjadi lemah.

Hakis sosioekonomi dan hak pekerja

Malah, Kepelbagaian Kesatuan Sekerja juga akan mewujudkan persaingan antara kesatuan sekerja di tempat kerja, akan mencetuskan ketidakstabilan, ketidakharmonian dan perpecahan di tempat kerja, "mencuri" keahlian di antara kesatuan sekerja akan berlaku.

Selain itu, Kepelbagaian Kesatuan Sekerja akan menghakis sosioekonomi dan hak pekerja, pemusnahan kesatuan sekerja oleh majikan akan meningkat, kesatuan boneka akan diwujudkan untuk melemahkan kesatuan yang sedia ada, dan kesatuan sekerja akan berada di bawah belas kasihan pihak pemerintah.

CAMU juga berpandangan bahawa Kepelbagaian Kesatuan Sekerja di tempat kerja akan mempunyai kesan ke atas gaji dan faedah yang ditindas, ketaksamaan pendapatan akan semakin meluas, dan Perjanjian Kolektif (CA) yang lebih lemah dan tertangguh.

Selain Kepelbagaian Kesatuan Sekerja, RUU Kesatuan Sekerja juga akan membolehkan Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan diberi kuasa untuk memutuskan kesatuan sekerja mana yang akan mempunyai hak tawar-menawar tunggal mengikut Seksyen 12A dan 12B Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Di mana:

  • a. Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan diberi kuasa untuk memanggil agar pengundian sulit diadakan bagi pekerja menentukan kesatuan sekerja yang harus mewakili mereka. Malah undi rahsia semasa untuk pengiktirafan kesatuan sekerja daripada majikan mempunyai banyak kecacatan.

  • b. RUU Kesatuan Sekerja akan menyebabkan kesatuan sekerja bersaing sesama mereka untuk hak tawar-menawar tunggal. Ini akan mewujudkan ketidakstabilan dan memecahbelahkan kesatuan dan apabila kesatuan telah diundi untuk hak tawar-menawar tunggal, kesatuan yang selebihnya akan menjadi lewah dan mungkin berkomplot dengan majikan untuk mendapatkan semula majoriti.

  • c. Perancangan akan diteruskan sehingga mereka memusahkan kesatuan yang dipilih. Akan ada pertelingkahan di antara kesatuan sekerja dan persengketaan di tempat kerja dalam usaha mereka untuk mendapatkan bantuan majikan, dengan pekerja menjadi mangsa.

Tolak Kepelbagaian Kesatuan Sekerja

Pada penelitian CAMU, pihak majikan dan Kementerian Sumber Manusia akan mendapat kelebihan yang lebih besar hasil daripada RUU ini.

Majikan dan Kementerian Sumber Manusia akan dapat memilih dan mempromosikan kesatuan pilihan mereka untuk terlibat dalam perundingan kolektif.

Persaingan antara kesatuan sekerja akan mengakibatkan pemusnahan kesatuan sekerja yang kini berleluasa dalam kalangan majikan yang tidak bertanggungjawab. Pekerja akan dieksploitasi secara maksimum, disebabkan oleh perjanjian kolektif yang lebih lemah dan pekerja yang akan paling rugi.

Kesatuan-kesatuan yang menyertai CAMU memutuskan untuk menolak peruntukan berkaitan Kepelbagaian Kesatuan Sekerja.

Mudarat akibat Kepelbagaian Kesatuan Sekerja bukan sahaja kepada pekerja dan kesatuan sekerja, tetapi juga kepada ekonomi. Penurunan keuntungan yang timbul daripada pertumbuhan yang lebih perlahan dan perpecahan dalam pergerakan kesatuan sekerja dan pergolakan buruh boleh membawa kepada hubungan perindustrian yang lemah dan gangguan ke atas ekonomi negara.

Terdapat dua kes yang menarik perhatian mahkamah sebelum ini. Sebagai contoh, Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia dalam kes Kesatuan Pekerja-Pekerja Bukan Eksekutif Maybank Bhd lwn Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank & Anor [2018] 2 MLJ 590 memutuskan seperti berikut: "Sudah ada Kesatuan Sekerja sedia ada yang mewakili dan memenuhi industri tertentu yang sama dan ia sepatutnya mengingatkan Ketua Pengarah (Kesatuan Sekerja) bahawa kepelbagaian kesatuan sekerja berkenaan dengan pekerjaan yang sama bukan kepentingan terbaik untuk (memelihara) keharmonian industri."

Percubaan untuk memperkenalkan "Kepelbagaian Kesatuan Sekerja" secara terang-terangan mengetepikan kebimbangan yang disuarakan oleh Mahkamah Persekutuan, yang mengatakan bahawa "Kepelbagaian Kesatuan Sekerja" berkenaan dengan pekerjaan yang sama akan menjejaskan keharmonian industri.

Mana-mana peruntukan dalam RUU Kesatuan Sekerja dan peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang mewujudkan "Kepelbagaian Kesatuan Sekerja", "kuasa berlebihan" kepada Ketua Pengarah dan komponen "hak tawar-menawar yang melemahkan" kesatuan dan merugikan para pekerja, akan ditolak.

CAMU telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu, meminta pimpinan beliau menangguhkan bacaan kali kedua RUU ini dan mengadakan dialog, perbincangan dan perundingan rasmi bersama kesatuan sekerja sebelum membawa pindaan ke Parlimen.

CAMU mengharapkan akan ada berita baik demi kepentingan kaum pekerja dan kesatuan sekerja negara ini.

RUDY RUSLY merupakan Pengerusi Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) dan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Kelab Semenanjung Malaysia.