NUBE desak pecat pemangku CEO dan GPO MBSB

 

NUBE desak pecat pemangku CEO dan GPO MBSB

 

 

BANDA HILIR 22 Jun- Kira-kira 50 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) Wilayah Selatan mengadakan piket peringkat kebangsaan di hadapan MBSB Bank Berhad (MBSB) Melaka Raya, hari ini, bagi membantah tindak-tanduk pengurusan tertinggi MBSB.

Mereka mendakwa pengurusan tertinggi MBSB mendiskriminasi, menafikan dan menganiaya ahli NUBE serta bertindak tidak jujur dalam pengurusan NUBE selain sengaja enggan menyelesaikan keluhan-keluhan pekerja.

Pengerusi NUBE Cawangan Selatan Kamarudin Bujang berkata, piket itu dilangsungkan selama satu jam bermula 12.30 tengah hari di lima cawangan MBMB lain secara serentak bagi mendesaka agar tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak Ogos 2021.

Menurutnya, isu itu tercetus selepas pemergian Datuk Seri Ahmad Zaini Othman yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBSB dan diambil alih oleh pemangku CEO waktu ini.

“Selepas pertukaran itu CEO dan Pegawai Modal Insan Kumpulan (GPO) didakwa bertindak dengan tidak jujur, berintegriti serta profesional dan telah mengambil siri tindakan bermusuhan dengan NUBE selain enggan mengakui senarai isu dibangkitkan.

“NUBE juga mendapati komunikasi baru-baru ini yang diadakan bersama pemangku CEO dan GPO menunjukkan mereka mengamalkan hooliganisme dan gengsterisme yang tidak wajar diamalkan oleh pemegang jawatan tertinggi bank apatah lagi sebuah bank Islam yang mengamalkan pematuhan Syariah,” katanya.

Menurutnya, oleh itu ahli kesatuan kira-kira 19, 000 orang mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memecat pemangku CEO dan GPO MBSB selain menuntut MBSB kembali ke meja perundingan untuk dialog sosial bagi menyelesaikan segera aduan industri demi menjaga kepentingan pekerja serta pencarum KWSP.

“Antara tindakan memusnahkan NUBE yang diambil oleh pihak itu adalah deskriminasi pekerja B40 dan M40 serta ahli NUBE dengan menafikan bantuan kewangan dibayar sekali sebanyak RM1,000. Tindakan lain juga adalah halang pekerja B40 dan M40 daripada menyertai NUBE serta melanggar perjanjian kolektif berkaitan pakaian seragam.

“Membuli pekerja yang dikuarantin kerana COVID-19 dengan memotong cuti tahunan dan mengenakan kos ujian RTK/HTK ke atas ahli NUBE serta enggan membenarkan pengawai kesatuan ditukarkan ke jawatan kosong di PJ Sentral selepas mengiklankan jawatan tersebut dengan alasan prerogatif majikan antara tindakan yang diambil untuk memusnahkan NUBE,” katanya.

Ujar Kamarudin lagi, sekiranya masih tiada tindakan atau pertemuan bagi mencari penyelesaian, ahli NUBE akan mengadakan piket bersiri demi menjaga kepentingan ahli dan mendapat keadilan.