JANGAN HALANG KEMAJUAN EKONOMI SETIAP PEKERJA

 

JANGAN HALANG KEMAJUAN EKONOMI SETIAP PEKERJA

 

 

JANGAN HALANG KEMAJUAN EKONOMI SETIAP PEKERJA

KOTA KINABALU: Majikan diminta berhenti daripada menghalang kemajuan ekonomi setiap pekerja.

Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), J. Solomon berkata, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Syed Hussain Syed Husman sebelum ini mengatakan cadangan SPCAAM kepada kerajaan untuk mewajibkan semua majikan menawarkan sekurang-kurangnya sebulan gaji sebagai bantuan perayaan akan mengakibatkan beban besar terhadap perniagaan yang masih dalam pemulihan selepas pandemik COVID-19.

Katanya, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia William Ng turut senada dengan amaran diberikan Syed Hussain itu apabila mengatakan cadangan berkenaan, jika diterima akan meletakkan beban kewangan terhadap perniagaan, khususnya melihat kepada margin keuntungan yang berkurangan sejak pandemik.

"Namun apakah ada merit dalam dakwaan mereka? Mari kita teliti fakta. Pada 2022, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai langsung RM175.4 bilion, iaitu peningkatan 21.75 peratus berbanding pada 2021.

"Kutipannya bagi tahun 2023 berkemungkinan lebih tinggi lagi kerana menurut Timbalan Menteri Kewangan II ketika itu, Steven Sim, menjelang Mei 2023 saja, kutipan cukai sudah hampir 20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, menurut Pengarah Pejabat CEO LHDN, Ranjeet Kaur, cukai korporat menyumbang RM97.94 bilion atau 55 peratus daripada keseluruhan hasil cukai 2022.

"Beliau turut menyatakan bahawa kumpulan T20 menyumbang 85 peratus atau RM33.68 bilion, daripada cukai pendapatan persendirian yang dikutip pada 2022.

"Jika pemilik perniagaan dan syarikat masih dalam proses pemulihan daripada pandemik COVID-19 seperti didakwa Syed Hussain dan Willaim, bagaimanakah LHDN mungkin meraih kutipan setinggi itu?," katanya.

Menurutnya, ekonomi Malaysia tumbuh 8.7 peratus pada 2022. Pada 2021 ia berkembang 3.1 peratus dan pada 2023, menurut Jabatan Statistik Malaysia (DoSM), Malaysia berkemungkinan mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak empat sehingga lima peratus.

Katanya, jika setiap tahun ekonomi berkembang, bagaimana pula perniagaan dan syarikat masih bergelut.

"Menurut Kementerian Perdagangan, Eksport Malaysia, pada Januari 2024 ia meningkat lebih 8.7 peratus dari setahun sebelumnya kepada RM122.43 bilion, iaitu lebih daripada tiga peratus pertumbuhan yang diramalkan pakar.

Secara keseluruhan katanya, menurut kajian MIDF eksport Malaysia dijangka pulih dan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2024 dan senarainya lebih panjang lagi.

"Jika perniagaan dan syarikat mengeksport lebih banyak, kenapa mereka mendakwa masih menderita dalam era pascapandemik?.

"Wajarlah sekiranya MEF berhenti menyekat kemajuan pekerja, memandangkan pekerja inilah tanpa jemu mengabdikan diri ke arah kejayaan majikan mereka," katanya.

Katanya, berdasarkan contoh ditunjukkan Indonesia, dapat dilihat dengan jelas bahawa sebenarnya tidak sukar untuk kerajaan meminta pemilik perniagaan atau eksekutif tertinggi syarikat, supaya memiliki pertimbangan dan keadilan dalam membuat penilaian betapa berharganya pekerja mereka.

Menurutnya, majikan Malaysia mesti menyedari bahawa semua pekerja termasuk Pengurus Besar di Indonesia menerima gaji sebulan dan kerajaan mewajibkan pemberian Bantuan Perayaan.

"Apapun, pelbagai syarikat Malaysia dengan penuh semangat melabur di Indonesia.

"Jika diminta kerajaan, perniagaan dan syarikat ini sudah pasti turut melihat pedomannya.

"Persoalannya cuma satu, adakah kerajaan hari ini sanggup berbincang dengan perniagaan dan syarikat sekurang-kurangnya bagi pihak pekerja berpendapatan rendah?," katanya.

#BankTakIkhlas

#pekerjabank

#RakyatJagaRakyat

#viralpage

#marhaen

#PerlindunganSosial

#Madanichannel

#rakyatbanturakyat

#pekerjakeras

#pekerjakilang

Source : https://www.facebook.com/share/p/gHAXmsWrZ6XjY6Fg/?mibextid=qi2Omg