50 anggota NUBE adakan bantahan serentak tuntut selesai isu kesatuan

 

50 anggota NUBE adakan bantahan serentak tuntut selesai isu kesatuan

 

 

IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Kira-kira 50 anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berkumpul di hadapan sebuah bank di Persiaran Greenhill di sini bagi membantah beberapa tindakan bank berkenaan yang didakwa mendiskriminasi, menganiaya dan enggan menyelesaikan keluhan pekerja yang dibangkitkan mereka.

Mereka yang menyertai bantahan bermula pukul 12.30 tengah hari itu, membawa sepanduk dengan kata-kata 'Diskriminasi Pekerja Miskin', 'Tidak Hormati Pekerja Wanita' serta 'Aniaya B40 dan M40'.

Setiausaha Cawangan NUBE Edwin Salomon berkata siri bantahan itu turut diadakan serentak di empat lagi lokasi hari ini iaitu di Bandar Baru Bangi, Selangor; Georgetown, Pulau Pinang; Melaka dan Kuala Terengganu, Terengganu.

"NUBE tiada pilihan kecuali mengadakan bantahan ini memandangkan pengurusan tertinggi bank dengan sengaja enggan menyelesaikan keluhan pekerja yang dibangkitkan dan mengamalkan sikap tidak bertamadun terhadap pekerja golongan B40,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Edwin berkata pihaknya menuntut bank berkenaan kembali ke meja perundingan untuk mengadakan dialog sosial bagi menyelesaikan segala aduan pekerja.