NUBE Anjur Piket Kebangsaan Protes Pengurusan MBSB

 

NUBE Anjur Piket Kebangsaan Protes Pengurusan MBSB

 

 

BANGI: Hampir 200 pemimpin dan ahli-ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) Cawangan KLSP mengambil bahagian dalam piket yang diadakan di pekarangan MBSB Bank Malaysia Cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor pada Rabu.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, piket kali ini diadakan memprotes tindak-tanduk MBSB.

“NUBE mengadakan piket peringkat kebangsaan di seluruh negara pada hari ini bagi membantah tindak-tanduk pengurusan tertinggi MBSB yang mendiskriminasi, menafikan hak ahli-ahli NUBE dan menganiayai mereka, selain bertindak dengan tidak jujur dalam urusan dengan NUBE.

“Pengerusi NUBE KLSP, J Solomon, Setiausaha Kehormat, A Karuna dan 10 pemimpin lain berucap dalam piket yang berlangsung selama satu jam,” menurut hantaran itu pada Rabu.

Selain di Bandar Baru Bangi, piket juga diadakan di pekarangan MBSB Bank Pulau Pinang, Wisma Penang Garden Business Centre, George Town, Pulau Pinang, MBSB Bank Ipoh, Persiaran Greenhill, Ipoh, Perak, MBSB Bank Melaka, Jalan Melaka Raya 1, Melaka Raya, Melaka, dan MBSB Bank Kuala Terengganu, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu.

Solomon berkata dalam ucapannya, piket akan diteruskan sehingga segala pertikaian menemui jalan penyelesaian.