AKTIVIS PEKERJA DILANJUTKAN JADI PEGAWAI KHAS MENTERI SUMBER MANUSIA

 

AKTIVIS PEKERJA DILANJUTKAN JADI PEGAWAI KHAS MENTERI SUMBER MANUSIA

 

 

Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (Nube) Chee Yeeh Ceeu dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Dalam kenyataan hari ini, Sim berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada perancangan dan hala tuju menteri untuk Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada tahun 2024.

"Sejak awal pelantikan, saya telah menyatakan iltizam untuk berdiri bersama pekerja. Oleh itu, saya berbesar hati melantik seorang aktivis kesatuan sekerja, Chee sebagai PTTK.

"Dia adalah aktivis gerakan buruh yang mempunyai 15 tahun pengalaman aktif dalam pergerakan kesatuan sekerja. Perlantikan ini membolehkan penglibatan yang lebih rapat kaum pekerja dalam pembuatan dasar di peringkat Kementerian," katanya.

Selain memegang jawatan bendahari agung Nube, Chee juga adalah ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Sementara itu, Steven Sim berkata dia telah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia untuk melaksanakan projek perintis Dasar Gaji Progresif dengan kadar segera agar pekerja memperoleh gaji yang lebih bermaruah dan wajar.

Kertas Putih Gaji Progresif yang dibentang di Parlimen November lalu yang memperincikan aspek asas dan mekanisme dasar tersebut.

Dijadual bermula pada suku ketiga tahun depan, dasar itu untuk menaikkan siling gaji mengikut jawatan dan kenaikan gaji tahunan, dengan tiga ciri asas iaitu pelaksanaan secara sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

"Kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi untuk menjayakan pelaksanaan projek perintis ini dan usaha-usaha lain bagi mereformasikan pasaran buruh negara," kata Sim.

Selain itu, dia juga berkata kementerian akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja serta mempersiap pasaran buruh.

"Ini mampu menghadapi cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar selaras dengan kerangka Ekonomi Madani," katanya lagi.