SPCAAM MEWAKILI AHLINYA DALAM REPRESENTASI PEMULIHAN KERJA DI BAWAH SEKSYEN 20 APP 1967

 

SPCAAM MEWAKILI AHLINYA DALAM REPRESENTASI PEMULIHAN KERJA DI BAWAH SEKSYEN 20 APP 1967

 

 

SPCAAM yang diwakili oleh Sdr Zul Thye telah mewakili seorang ahli SPCAAM didalam sesi Rundingan Damai dalam Representasi Pemulihan Kerja Di Bawah Seksyen 20 APP 1967 di pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Kuala Lumpur hari ini. Ahli SPCAAM ini telah hadir di pejabat SPCAAM untuk memohon khidmat bantuan pada 24 Ogos 2023 yang lepas. Selepas mendapatkan nasihat kami, beliau telah memfailkan kesnya di JPP KL.

Rundingan Damai tersebut turut dihadiri oleh 3 wakil Majikan dari jabatan Perhubungan Perusahaan mereka. Pihak Syarikat telah memulakan hujah mereka dengan memberikan penjelasan kenapa Pekerja tersebut ditamatkan perkhidmatan. Faktor utama pekerja dipecat adalah rentetan dari kekecewaan kontrak kerja yang berlaku atas sebab masalah kesihatan pekerja yang mempunyai cuti sakit yang tinggi.

Selepas itu, Sdr Zul Thye telah membalas hujah pihak Syarikat dengan menerangkan kenapa pembuangan kerja ini adalah tidak adil kepada pekerja. Pihak Syarikat tidak meneliti setiap fakta dan sebab yang munasabah sebelum mengambil keputusan untuk membuang pekerja. Alasan yang diberikan iaitu, pekerja mengambil cuti sakit yang terlalu lama adalah faktor utama berlakunya kekecewaan kontrak dan akhirnya pekerja dipecat. Punca sebenar pekerja tidak sihat adalah kerana 2 kemalangan yang berlaku di tempat kerja sendiri atas kelalaian pihak Syarikat sendiri menyediakan tempat kerja yang selamat dan kondusif kepada pekerja-pekerjanya.

Tidak ada persetujuan untuk menyelesaikan perkara tersebut pada hari ini dan rundingan damai yang kedua akan dijalankan selepas 3 minggu kemudian. Pihak SPCAAM akan memaklumkan status perkara ini di siaran yang akan datang.