SPCAAM: Dasar gaji progresif belum dilaksana tapi tampak sudah cacat

 

SPCAAM: Dasar gaji progresif belum dilaksana tapi tampak sudah cacat

 

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mendakwa kenyataan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar semalam dengan sendirinya menunjukkan dasar sistem gaji progresif yang akan diperkenalkan tidak lama lagi sudah kelihatan “cacat di banyak peringkat.”

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’angelus berkata, pengumuman Sivakumar menunjukkan walaupun tanpa mengetahui butiran model atau sistem yang bakal diperkenalkan, jelas sekali Kementerian Sumber Manusia telah menjadi mangsa amalan pemangsa komuniti perniagaan di negara ini.

“Ini walaupun kerajaan berkali-kali menyatakan bahawa ia mengiktiraf kesan krisis kos sara hidup ke atas komuniti B40 dan M40,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, nampaknya kumpulan perniagaan, dan khususnya perniagaan besar, telah berjaya memujuk kerajaan untuk meneruskan sistem pekerjaan eksploitatif di negara ini, yang secara langsung menyumbang kepada ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan yang tidak mampan dan berkembang.

“Kenyataan Menteri itu disifatkan seolah-olah bantuan sedang dilakukan untuk pekerja di negara ini dengan tidak menurunkan gaji minimum.

“Kenyataan itu dengan sendirinya menghina pekerja. Bolehkah Menteri keluar dan nyatakan apakah perbezaan antara gaji minimum dan tahap pendapatan layak di negara ini hari ini?” kata beliau.

Menurut Sivakumar, gaji minimum RM1,500 masih dikekalkan di bawah kerangka dasar sistem gaji progresif yang bakal diperkenal oleh kerajaan.

Beliau berkata, sistem gaji progresif, yang dilihat paling relevan untuk diamalkan di Malaysia, perlu seiring dengan gaji minimum dan meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus memberi keuntungan kepada majikan.

“Gaji minimum RM1,500 adalah paras paling asas, sekiranya kita menurunkan angka gaji minimum, itu bukanlah bersifat progresif tetapi regresif,” kata beliau.

Sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Khamis lepas, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar sistem gaji progresif diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentang dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini dengan jangkaan pelaksanaan pada April atau Mei tahun depan.

Sivakumar juga berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperinci garis panduan dasar itu turut menetapkan pelaksanaan sistem gaji progresif tidak diwajibkan ke atas semua majikan swasta.

“Apabila kita menetapkan RM1,500 sebagai gaji minimum, ia tidak melibatkan soal produktiviti, oleh itu kita mahukan pekerja yang berkemahiran dan mempunyai bakat mendapat bayaran setimpal sekali gus menjadi nilai tambah dan aset kepada majikan mereka untuk kekal bekerja.

“Pada masa akan datang, majikan secara perlahan-lahan akan menyedari keperluan melaksanakan gaji progresif, jadi untuk peringkat awal, kita akan biarkan majikan membuat keputusan sama ada mereka mahu gunakan sistem gaji progresif atau tidak,” katanya.

Dalam kenyataannta, Anthony berkata, pada tahun 2018, Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa pendapatan layak seorang dewasa bujang untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat ialah RM2,700 sebulan.

“Hakikat bahawa Bank Negara Malaysia tidak mengemas kini dan menyemak semula kajian mereka sejak 2018 menunjukkan institusi kerajaan menjadi pihak kepada penindasan yang diinstitusikan terhadap pekerja di negara ini,” kata beliau.

Tegas beliau, gaji minimum perlu ditetapkan pada tahap pendapatan yang sewajarnya.

“Sebarang jenis bonus atau gaji produktiviti hendaklah sebagai tambahan kepada gaji minimum. Hak untuk memperoleh pendapatan yang lumayan adalah hak asasi manusia, yang dinafikan kepada pekerja-pekerja Malaysia.

“Sistem di mana pekerja diberi insentif untuk meningkatkan produktiviti individu dan kolektif adalah perlu, walaupun ia tidak menafikan kewajipan asas majikan untuk memastikan setiap pekerja mendapat jaminan pendapatan yang berpatutan.

“Sebagai sebahagian daripada mekanisme gaji progresif, kerajaan juga harus berusaha untuk memperkenalkan siling gaji,” kata beliau.

Ujar beliau, dengan cara itu, jumlah pampasan eksekutif kanan boleh dihadkan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh eksekutif yang menganugerahkan diri mereka sendiri bonus dalam jumlah besar dan berkongsi anugerah, yang selalunya mengorbankan pelaburan semula keuntungan ke dalam perniagaan untuk pertumbuhan.

Malah tambah beliau, kerajaan harus mempertimbangkan untuk mewujudkan nisbah antara pekerja bergaji paling rendah dan bergaji tertinggi dalam sesebuah organisasi, sekali gus memastikan jurang kekayaan dan pendapatan yang merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada krisis kos sara hidup yang teruk di negara ini.

“Satu lagi faktor penyumbang langsung terhadap isu tahap gaji yang tidak seimbang bagi komuniti B40 khususnya ialah kekurangan hak tawar-menawar kolektif pekerja Malaysia.

“Dianggarkan hanya 6 peratus pekerja Malaysia yang mempunyai kesatuan sekerja, dan itu termasuk pekerja kesatuan sekerja dalam sektor awam yang kesatuan sekerjanya tidak mempunyai hak perundingan kolektif.

“Tindakan pertama yang perlu berlaku ialah menghapuskan pelbagai bentuk aktiviti antikesatuan yang telah dibiarkan terlalu lama,” kata beliau.

Menurut beliau, pekerja-pekerja di negara ini tidak boleh diminta untuk terus sabar dengan sistem yang telah mengeksploitasi mereka terlalu lama.

“Nampaknya, kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada hari ini sedang mengambil strategi berdiam diri secara elegan sehingga tindakan mereka itu merugikan pekerja.

“Kerajaan, yang sepatutnya dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, harus melihat untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat,” kata beliau lagi.