Kekalkan kadar minimum di bawah dasar gaji progresif menghina pekerja' - SPCAAM

 

Kekalkan kadar minimum di bawah dasar gaji progresif menghina pekerja' - SPCAAM

 

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menyifatkan pengumuman bahawa gaji minimum RM1,500 akan dikekalkan pada tahap sama di bawah dasar gaji progresif yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, cacat di banyak peringkat.

Langkah mengekalkan kadar minimum di bawah dasar gaji progresif yang belum diketahui butiran model atau sistem itu, menunjukkan kejayaan syarikat besar memujuk kerajaan kini untuk meneruskan sistem pekerjaan eksploitatif di negara ini, yang menyumbang kepada ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan tidak mampan dan berkembang.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D'angelus, berkata pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berhubung pengekalan gaji minimum itu disifatkan seolah-olah bantuan sedang dilakukan untuk pekerja negara ini dengan tidak menurunkan gaji minimum.

"Kenyataan itu dengan sendirinya menghina pekerja. Bolehkah Menteri keluar dan nyatakan apakah perbezaan antara gaji minimum dan tahap pendapatan layak di negara ini hari ini? Pada tahun 2018, Bank Negara menyatakan bahawa pendapatan layak seorang dewasa bujang untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat ialah RM2,700 sebulan.

"Hakikat bahawa Bank Negara Malaysia tidak mengemas kini dan menyemak semula kajian mereka sejak 2018 menunjukkan institusi kerajaan menjadi pihak kepada penindasan yang diinstitusikan terhadap pekerja di negara ini.

"Gaji minimum perlu ditetapkan pada tahap pendapatan yang sewajarnya. Sebarang jenis bonus atau gaji produktiviti hendaklah sebagai tambahan kepada gaji minimum. Hak memperoleh pendapatan lumayan adalah hak asasi manusia, yang dinafikan kepada pekerja di negara ini," katanya.

Sebelum ini, Sivakumar berkata, gaji minimum RM1,500 masih dikekalkan di bawah kerangka dasar sistem gaji progresif yang bakal diperkenal kerajaan.

Beliau berkata, sistem gaji progresif, yang dilihat paling relevan untuk diamalkan di Malaysia, perlu seiring dengan gaji minimum dan meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus memberi keuntungan kepada majikan.

Khamis lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata dasar sistem gaji progresif diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentang dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini dengan jangkaan pelaksanaan pada April atau Mei tahun depan.

Sivakumar juga berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperinci garis panduan dasar itu turut menetapkan pelaksanaan sistem gaji progresif tidak diwajibkan ke atas semua majikan swasta.

D'angelus berkata, kekurangan hak tawar-menawar secara kolektif dalam kalangan pekerja, adalah penyumbang kepada isu gaji tidak seimbang bagi komuniti B40 di negara ini.

Beliau berkata, ketika ini dianggarkan hanya enam peratus pekerja menyertai kesatuan pekerja dan jumlah itu termasuk pekerja kesatuan sekerja dalam sektor awam, yang tidak mempunyai hak perundingan kolektif.

"Tindakan pertama yang perlu berlaku ialah menghapuskan pelbagai bentuk aktiviti antikesatuan yang dibiarkan terlalu lama.

"Pekerja-pekerja di negara ini tidak boleh diminta untuk terus sabar dengan sistem yang mengeksploitasi mereka terlalu lama.

"Nampaknya, kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada hari ini sedang mengambil strategi berdiam diri secara elegan sehingga tindakan mereka itu merugikan pekerja," katanya.

D'Angelus berkata, kerajaan sepatutnya berusaha memperkenalkan siling gaji bagi mengelak penyalahgunaan pampasan kepada eksekutif kanan syarikat dalam jumlah bentuk bonus yang besar.

"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mewujudkan nisbah antara pekerja bergaji paling rendah dan bergaji tertinggi dalam sesebuah organisasi," katanya.

Katanya, ia bagi memastikan jurang kekayaan dan pendapatan yang merupakan antara faktor utama menyumbang krisis kos sara hidup yang teruk di negara ini.