Kerajaan digesa terima cadangan naikkan had umur persaraan

 

Kerajaan digesa terima cadangan naikkan had umur persaraan

 

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan cadangan menaikkan had umur persaraan secara pilihan kepada 65 tahun bagi membantu golongan pekerja yang sukar menyara diri sendiri.

Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus berkata, golongan B40 dan M40 adalah antara yang paling terjejas serta tidak mampu untuk menyara diri sendiri selepas bersara.

Katanya, populasi itu kebiasaannya tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain ataupun pendapatan pasif yang diperoleh daripada sumber lain seperti pelaburan dan sebagainya untuk membantu kelangsungan hidup mereka.

“Penanda aras yang digunakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memastikan pesara mempunyai keperluan munasabah untuk menyara diri mereka adalah terlalu rendah dan tidak realistik.

“Justeru itu, mana-mana individu yang mahu terus bekerja sepatutnya dibenarkan dan adalah tidak adil sekiranya mereka dibolehkan untuk bekerja di bawah syarat pekerjaan yang berbeza,” katanya ketika forum ‘Adakah rakyat Malaysia mampu untuk menikmati kehidupan yang baik selepas bersara’ di NUBE House, di sini hari ini.

Callistus berkata, golongan warga emas juga tidak sepatutnya didiskriminasi dalam apa jua cara sekalipun sekiranya mereka masih mahu berada dalam industri pekerjaan.

“Apabila golongan pesara ini tidak dapat menampung kehidupan mereka dari segi ekonomi, ia juga membawa kepada masalah sosio-ekonomi di peringkat makro.

“Perkara itu menyebabkan ramai golongan muda terpaksa menanggung orang tua mereka dari segi kewangan. Kini, mereka bukan sahaja memikul beban kewangan untuk diri sendiri malah ahli keluarga juga,” ujarnya.

Selain itu katanya, beban kewangan untuk menyara pesara yang tidak bebas dari segi kewangan juga akan jatuh ke atas negeri di mana akhirnya, sekali gus meningkatkan beban kebajikan negeri.

“Dengan peningkatan jangka hayat, mereka yang berumur 60 hingga 70 tahun masih mampu menyumbang secara produktif ke arah ekonomi dengan terus bekerja.

“Kita perlu ubah cara pemikiran dalam isu ini kerana ia merupakan sebahagian daripada Agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 mengenai Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan iaitu berusaha untuk mengurangkan ketidaksamaan kesihatan dan memperbaiki kehidupan orang tua, keluarga dan komuniti melalui perubahan cara kita berfikir, merasa dan bertindak ke arah usia dan penuaan,” jelasnya.

Susulan itu katanya, beberapa langkah perlindungan sosial juga harus diperkenalkan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh golongan tidak berkemampuan yang bekerja di negara ini. – KOSMO! ONLINE