PELABURAN KWSP KURANG TERKESAN KETIDAKTENTUAN TUKARAN ASING

 

PELABURAN KWSP KURANG TERKESAN KETIDAKTENTUAN TUKARAN ASING

 

 

KUALA LUMPUR: Pergerakan turun naik yang tidak menentu dalam tukaran asing pada masa ini dilihat tidak memberi kesan ketara kepada pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan kira-kira 64 peratus pelaburannya adalah di pasaran domestik, iaitu dalam ringgit.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pengurus dana persaraan pekerja swasta itu akan kekal dengan strategi pelaburan berpandukan Penempatan Aset Strategik (SAA) yang ditetapkannya bagi menjamin pulangan mampan pada masa depan meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau berkata, KWSP adalah pelabur jangka panjang, justeru penting untuk rancangan pelaburannya berpandu kepada SAA jangka panjang.

Katanya, pendedahan pelaburan antarabangsa KWSP terhadap pergerakan tukaran asing pula bergantung kepada keputusan pengurus dana persaraan untuk merealisasikan pelaburan luar negaranya.

"KWSP adalah pelabur institusi jangka panjang dan kami sentiasa dipandu oleh SAA," katanya ketika ditemui pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 (ISWC 2023) di Kuala Lumpur, semalam.

ISWC 2023 yang berlangsung selama dua hari, dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

Bertemakan 'Changing the Game: Building the World We Want,' program itu bertujuan menangani jurang kritikal dalam aspek perlindungan keselamatan sosial selain menyokong hak asas bagi mendapatkan perlindungan sosial.

Amir Hamzah berkata, walaupun pasaran ekuiti tempatan mencatatkan prestasi kurang memuaskan apabila merosot sehingga tujuh hingga lapan peratus bulan lalu, namun KWSP berpotensi menjana keuntungan dengan melabur dalam saham yang betul.

Beliau berkata, pasaran global pula dilihat pulih sedikit meskipun kadar faedah terus meningkat, yang mana ia dilihat meningkat 13 peratus dan baik untuk pelaburan KWSP.

"Kami jangka keputusan kewangan suku kedua akan lebih baik," katanya.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM15.16 bilion, naik tiga peratus berbanding RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku sama 2022.

Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku berkenaan.

Pada suku pertama 2023, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2022.

Kelas aset itu kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Instrumen pendapatan tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, telah menjadi tunjang kepada KWSP dan terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, di samping mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek dan memberikan kestabilan kepada pendapatan keseluruhan KWSP.

Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta pinjaman dan bon, menyumbang 32 peratus atau RM4.79 bilion kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku pertama 2023.

Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan peningkatan dalam pendapatan kepada RM920 juta pada suku pertama 2023.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang juga meningkat kepada RM490 juta, daripada RM280 juta pada suku pertama 2022, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.