PINJAMAN LEBIH MAHAL DENGAN KENAIKAN OPR AKAN SUSAHKAN KELOMPOK B40

 

PINJAMAN LEBIH MAHAL DENGAN KENAIKAN OPR AKAN SUSAHKAN KELOMPOK B40

 

 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu melaksanakan dasar yang memenuhi keperluan dan kebaikan membabitkan seluruh sektor masyarakat sebelum memutuskan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus, berkata komuniti B40 negara bukanlah spekulator atau pengambil risiko, disebabkan mereka tidak mempunyai kedudukan untuk melabur atau menyimpan.

Katanya, BNM gagal untuk melihat perkara-perkara demikian secara holistik, sebaliknya memberi tumpuan secara agregat. “Masalah dengan dasar agregat dan membuat keputusan terutamanya dalam bidang ekonomi, adalah ia cenderung mengabaikan keperluan sesetengah sektor masyarakat.

“Dalam keadaan ini, kesan kenaikan OPR ialah pinjaman menjadi lebih mahal. Bagaimanakah ia akan memberi kesan kepada golongan miskin yang menghadapi masalah kelangsungan hidup, memastikan adanya makanan atas meja mereka, bumbung atas kepala mereka, dan menghantar anak mereka ke sekolah?

“BNM sepatutnya melaksanakan dasar yang tidak membenarkan bank menaikkan kadar faedah bagi komuniti B40. Ujian berasaskan cara harus diguna pakai dalam hal ini. Langkah itu tidak boleh terlalu sukar untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan di luar jangkaan dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Callistus berkata, BNM tidak boleh bertindak secara berasingan tetapi harus selaras dengan keseluruhan strategi ekonomi kerajaan.

“Tangan kiri mesti tahu apa yang tangan kanan lakukan dan begitulah juga sebaliknya. Pembuatan dasar dari atas ke bawah hierarki kerajaan haruslah berkesinambungan,” katanya.

https://themerdekatimes.com/.../pinjaman-lebih-mahal.../