KENAIKAN OPR: PINJAMAN LEBIH MAHAL, BAGAIMANA B40 BOLEH MENYEDIAKAN KEPERLUAN HIDUP?

 

KENAIKAN OPR: PINJAMAN LEBIH MAHAL, BAGAIMANA B40 BOLEH MENYEDIAKAN KEPERLUAN HIDUP?

 

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata memberi kesan ke atas komuniti kurang berada dan ia membimbangkan, apabila menyebabkan pinjaman menjadi lebih mahal.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus berkata, keputusan dibuat berdasarkan penilaian BNM terhadap prospek ekonomi makro negara itu, dikhuatiri bahawa dasar monetari yang longgar menggalakkan pengambilan risiko berlebihan menjadi tidak mampan dan kini, ia sudah berlaku.

Katanya, isu di sebalik situasi OPR itu adalah BNM sebagai bank pusat negara, harus melaksanakan dasar berdasarkan keperluan dan kebaikan semua sektor masyarakat.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pengambilan risiko berlebihan harus dibendung kerana kadar pinjaman murah, menggalakkan tingkah laku spekulatif yang dalam jangka panjang kembali menggigit ekonomi dengan teruk.

“Komuniti B40 di negara ini bukanlah spekulator atau pengambil risiko. Ini kerana mereka tidak mempunyai kedudukan untuk melabur atau menyimpan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut dipuji kerana berulang kali menyatakan bahawa golongan miskin di Malaysia, sedang menghadapi krisis kos sara hidup teruk yang menyaksikan kerajaan terdahulu mengabaikan fakta terbabit.

Menurutnya, pelbagai inisiatif taktikal sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan untuk meringankan penderitaan golongan miskin, sementara strategi keseluruhan sedang ditetapkan berdasarkan aspirasi Malaysia MADANI.

Bagaimanapun, Callistus berkata, BNM gagal untuk melihat perkara semasa secara holistik dan sebaliknya memberi tumpuan secara agregat.

“Masalah dengan dasar agregat dan membuat keputusan, terutamanya dalam bidang ekonomi adalah ia cenderung mengabaikan keperluan sesetengah sektor masyarakat.

“Dalam keadaan ini, kesan kenaikan OPR ialah pinjaman menjadi lebih mahal,” katanya.

Di sebalik keputusan BNM menaikkan OPR, beliau berkata, ia pastinya mengakibatkan golongan miskin yang sedia terbeban untuk meneruskan kehidupan.

“Bagaimanakah ia (kenaikan) akan memberi kesan kepada golongan miskin yang menghadapi masalah kelangsungan hidup, memastikan adanya makanan di atas meja, tempat berteduh dan menghantar anak ke sekolah?” soalnya.

Pada masa sama, Callistus berkata, BNM sepatutnya melaksanakan dasar yang tidak membenarkan bank menaikkan kadar faedah bagi komuniti B40.

“Ujian berasaskan cara harus diguna pakai dalam hal ini. Langkah itu tidak boleh terlalu sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Malah, beliau berkata, BNM tidak boleh bertindak secara berasingan dan mesti menyelaraskan dengan keseluruhan strategi ekonomi kerajaan.

“Tangan kiri mesti tahu apa yang tangan kanan lakukan dan begitulah juga sebaliknya.

“Pembuatan dasar dari atas ke bawah hierarki kerajaan haruslah koheren,” katanya.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan OPR kepada 3.00 peratus yang menyaksikan peningkatan 0.25 peratus, berbanding kadar sebelumnya, iaitu 2.75 peratus.

Menerusi kenyataannya, BNM memaklumkan, keputusan kenaikan itu dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada mesyuaratnya.

Ujarnya, mesyuarat itu turut membuat keputusan menaikkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR, masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Institusi kewangan itu sebelum ini menaikkan OPR empat kali berturut-turut sepanjang tahun lalu, iaitu pada Mei, Julai, September dan November.

Kenaikan itu menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Ia mendorong pelbagai pihak termasuk penganalisis ekonomi ketika itu, meminta BNM menghentikan sementara sebarang kenaikan OPR, sekiranya langkah terbabit memberi kesan besar kepada rakyat, termasuk jika mengakibatkan bebanan terhadap kewangan mereka dan peningkatan jumlah individu muflis. – Getaran, 4 Mei 2023

https://www.getaran.my/.../kenaikan-opr-pinjaman-lebih...