SPCAAM: Naikkan had umur persaraan pekerja Malaysia hingga 65 tahun

 

SPCAAM: Naikkan had umur persaraan pekerja Malaysia hingga 65 tahun

 

 

PANDANGAN: Perdebatan yang mencetuskan cadangan untuk meningkatkan umur persaraan rasmi negara telah menarik pandangan yang pelbagai dan berbelah-bahagi. Terdapat kedua-dua pertimbangan ekonomi individu dan makro yang menjadi faktor kepada hujah-hujah menyokong dan menentang langkah melanjutkan umur persaraan, yang kini 60 tahun.

Kakitangan sektor swasta, yang bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu mereka semasa bersara, kini berdepan dengan cabaran getir. Baru-baru ini KWSP melaporkan bahawa 51.5 peratus ahlinya di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000. Ini bermakna Malaysia sedang menuju ke arah krisis sosioekonomi yang serius bagi rakyatnya yang sudah bersara dan akan bersara.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang kedua-duanya semakin tidak relevan, nampaknya telah mengambil pendirian bahawa umur persaraan tidak harus dinaikkan. Mereka berpendapat bahawa generasi muda akan kehilangan peluang pekerjaan sekiranya umur persaraan dinaikkan. Ini berdasarkan anggapan ekonomi yang salah.

Menurut Bahagian Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, jangka hayat global semasa kelahiran bagi kedua-dua jantina telah meningkat daripada 46.5 tahun pada tahun 1950 kepada 71.7 tahun pada tahun 2022. Dalam tempoh yang sama, peningkatan jangka hayat di Malaysia adalah daripada 52.8 tahun kepada 76.51 tahun. Oleh itu, tempoh hidup manusia pada masa sekarang adalah lebih lama berbanding dahulu, dan sukar untuk menyara diri daripada segi ekonomi selepas bersara.

Di mana orang bekerja dan mendapat gaji yang berpatutan, mereka mempunyai keupayaan untuk berbelanja lebih, seterusnya mewujudkan rangsangan untuk pertumbuhan ekonomi selanjutnya. Platform untuk ekonomi yang teguh dan dinamik dicipta. Secara agregat, akan terdapat lebih banyak pekerjaan dalam ekonomi.

Sebaliknya, apabila orang ramai tidak bekerja secara bergaji dan tidak mempunyai cukup simpanan untuk menyara diri daripada segi ekonomi sebaik sahaja mereka bersara, tekanan itu dirasai secara peribadi dan lebih umum oleh ekonomi negara. Jepun adalah satu contoh, di mana kemajuan ekonomi telah tersekat selama bertahun-tahun.

Dalam hubungan ini, MTUC, yang sepatutnya mewakili kesejahteraan pekerja, nampaknya telah bercampur aduk dan tidak menawarkan satu pun idea untuk penyelesaian kepada isu yang dihadapi oleh pekerja di negara ini.

Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan pekerja-pekerja dibenarkan bekerja sehingga umur 65 tahun atas kerelaan mereka sendiri.

Mereka tidak boleh dipaksa untuk bersara, dan mereka juga tidak boleh dipaksa bekerja. Bagi mereka yang terus bekerja melebihi umur 60 tahun, ia tidak seharusnya melibatkan pekerjaan secara kontrak kerana ia akan menimbulkan amalan pekerjaan yang tidak menentu dan mengeksploitasi pekerja-pekerja tua.

Dengan cara ini, pekerja boleh bekerja melebihi umur 60 tahun dan sehingga 65 tahun, dengan itu mengurangkan tekanan ekonomi pada diri mereka dan negara secara keseluruhan. Bagi mereka yang memilih untuk bersara pada usia 60 tahun atas apa jua sebab, mereka harus dibenarkan berbuat demikian. Ini sepatutnya terpakai kepada kedua-dua sektor swasta dan awam.

Perniagaan juga mendapat manfaat jika cadangan sedemikian dilaksanakan kerana mereka akan mempunyai akses kepada tenaga kerja yang berpengalaman untuk jangka masa yang lebih lama, dan akan mempunyai sedikit alasan untuk mengadu tentang kekurangan tenaga kerja yang mahir dan berpengalaman.

Negara memerlukan beberapa penyelesaian yang kreatif dan saksama dalam isu yang melibatkan pekerja-pekerja di negara ini, dan pembaharuan besar dasar buruh dan ekonomi juga diperlukan. Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim, dengan agenda reformasi yang sedia ada, telah dilengkapi dengan baik untuk melaksanakan reformasi tersebut.

Callistus Antony D’Angelus ialah Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)

https://www.workerstimes.com/spcaam-naikkan-had-umur.../