GLC wajar ikuti Selangor bayar pekerja gaji tambahan Ramadan – SPCAAM

 

GLC wajar ikuti Selangor bayar pekerja gaji tambahan Ramadan – SPCAAM

 

 

PERSATUAN Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menyarankan kerajaan menetapkan gaji sara hidup mandatori dan memastikan hak perlindungan kesatuan sekerja yang mencukupi dalam menangani isu ekonomi golongan B40 dan M40.

Langkah ini dianggap lebih berkesan daripada membenarkan mereka membuat pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mampu membebankan mereka dan keluarga apabila bersara nanti.

“Apakah yang akan dilakukan individu-individu yang telah mengeluarkan caruman KWSP apabila bersara nanti?

“Beban akan menimpa keluarga dan negara yang umpama situasi menendang tin ke jalan raya,” kata Timbalan Presiden SPCAAM, S. Nadarajan (gambar kanan) dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menyarankan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengikut langkah kerajaan negeri Selangor dengan membayar gaji tambahan sebulan sepanjang Ramadan kepada para pekerja mereka.

“Tujuannya membolehkan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih meriah, kemudiannya wajibkan juga langkah ini terhadap sektor swasta,” katanya.

KWSP katanya, merupakan dana perlindungan sosial dan mekanisme simpanan pekerja-pekerja untuk dimanfaatkan  selepas bersara selain supaya mereka berdikari dan mengelakkan kesan sosioekonomi yang buruk.

“Perlu diakui bahawa dana KWSP ialah milik pencarum iaitu para pekerja negara.

“Berbilion RM dana KWSP telah digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang disalah urus selama ini disebabkan pertimbangan politik dan rasuah,” katanya.

Nadarajan turut menegur ahli-ahli politik yang seolah-olah masih memihak kepada rakyat sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa malah menimbulkan pula isu ekonomi negara yang serius.

“Ahli-ahli politik harus berhenti memperjudikan masa depan Malaysia terutamanya komuniti B40 dan M40,” katanya. — BebasNews