SPCAAM gesa boikot syarikat bayar gaji rendah

 

SPCAAM gesa boikot syarikat bayar gaji rendah

 

 

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa tindakan boikot secara besar-besaran terhadap mana-mana syarikat sama ada tempatan atau asing yang mengeksploitasi rakyat di negara ini dengan membayar gaji yang rendah.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus berkata, pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa 44 peratus pencarum aktif dalam sektor formal ekonomi berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan adalah memalukan.

Menurutnya, boleh dianggarkan lebih separuh daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada gaji sara hidup.

"Keadaan ini memalukan, dan ia disebabkan oleh penyelewengan, ketamakan, rasuah dan penyalahgunaan oleh elit politik dan perniagaan negara.

"Ia telah dibiarkan terlalu lama, dan satu-satunya cara untuk perubahan ialah rakyat negara ini mengambil semula kuasa daripada elit politik dan perniagaan.

"Pergerakan massa rakyat melalui pelbagai bentuk penentangan awam diperlukan untuk mencabar status quo," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mendakwa, institusi di Malaysia dipandang remeh, dan mudah dilanggar oleh syarikat asing menjadikannya sebagai rasuah dalam bentuk yang paling teruk, dan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat.

"Institusi seperti bank pusat, Bank Negara, tidak campur tangan apabila bank asing memberhentikan pekerja dan hanya membayar mereka kadar minimum seperti yang dijamin oleh undang-undang sedangkan bank terbabit mengaut keuntungan berbilion dolar selama ini.

"Dalam menangani keadaan yang sama, bank pusat di negara lain campur tangan untuk memaksa bank asing yang sama membayar pekerja yang terjejas berkali-kali ganda daripada yang diterima oleh rakan mereka di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di jalan yang betul dalam memulakan agenda reformasi, namun beliau tidak boleh melakukannya sendirian.

"Rakyat mesti bangkit dan menentang, dan dengan cara itu jalan reformasi akan dipercepatkan. Boikot besar-besaran terhadap pertubuhan sedemikian adalah salah satu cara tekanan yang boleh dikenakan untuk menyelesaikan isu-isu terbabit.

"Organisasi masyarakat sivil harus bersatu dan bertindak secara serentak untuk memerangi eksploitasi seumpama itu,"katanya.