Siap sediakah jaminan makanan Malaysia?

 

Siap sediakah jaminan makanan Malaysia?

 

 

India sudah menutup eksport gandum. Apa tindakan dan cadangan kerajaan Malaysia dalam menghadapi cabaran harga makanan asas yang meningkat?

Sekiranya tepung gandum mula dicatu, rakyat khususnya yang terlibat dengan pembuatan makanan berasaskan tepung akan menerima impak yang besar. Bagaimana kerajaan bercadang untuk melaksanakan strategi ‘soft landing’ ini?

Kami mohon kerajaan untuk lebih mendalami isu ’food security’ memandangkan ini adalah masalah global.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat petunjuk atau indikator yang boleh digunakan dalam mengenalpasti jaminan makanan bagi sesebuah negara, seperti berikut:

Ketersediaan makanan – keupayaan isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi dengan kualiti yang sepatutnya. Kuantiti makanan yang mencukupi dan berkualiti ini haruslah dibekalkan daripada pengeluaran makanan secara domestik atau import dan melalui bekalan makanan.

Akses makanan – akses atau capaian isi rumah terhadap sumber yang mencukupi (hak) bagi mendapatkan makanan yang sesuai untuk menampung keperluan. Kecukupan untuk akses ini merangkumi pengeluaran dan simpanan stok dalam isi rumah, pembelian, hadiah, pinjaman dan bekalan makanan.

Penggunaan makanan – kemampuan isi rumah untuk mendapatkan nutrien yang mencukupi melalui jumlah makanan yang diambil, keupayaan mendapatkan bekalan air yang bersih serta tahap penjagaan kesihatan bagi memenuhi pemakanan yang baik untuk mencapai keperluan fisiologi. Ini juga termasuk dengan pengetahuan isi rumah atau individu berkaitan dengan pengurusan dan teknik pemprosesan makanan serta penyediaan makanan.

Kestabilan makanan – setiap individu atau isi rumah mempunyai akses untuk mendapatkan makanan yang mencukupi pada setiap masa. Bagi memastikan kestabilan makanan ini, risiko luar jangka yang boleh mengancam keselamatan makanan harus diambilkira, seperti krisis ekonomi, perubahan cuaca dan sebagainya.

Meneliti kepada kesemua komponen yang disarankan ini, jelaslah bahawa jaminan makanan atau food security dalam sesebuah komuniti dan negara adalah penting agar setiap lapisan masyarakat memperoleh makanan asas yang berkhasiat, tanpa perlu berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan atau terpaksa membayar dengan harga yang melampau.

Negara negara luar nampaknya sudah mula mengambil tindakan tindakan perlu demi memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat mereka. India, Indonesia telah memulakan langkah drastik.

Dimanakah inisiatif ‘food security’ Malaysia. Apakah tahap kesiap-siagaan food bank Malaysia? Sekiranya negara sekali lagi dilanda bencara alam berskala besar tahun hadapan atau hujung tahun ini, apakah persediaan dari segi bantuan makanan?

Persoalan ini menjangkau hal ehwal politik sebaliknya hal kemanusiaan. Sejauh mana kita bersedia?

TUN FIQA MOHAMMAD merupakan Ketua Biro Kepenggunaan Parti PEJUANG Tanahair.