Gaji minimum RM1,500 bukan jumlah yang besar, tidak patut ditangguh – Ismail Sabri

 

Gaji minimum RM1,500 bukan jumlah yang besar, tidak patut ditangguh – Ismail Sabri

 

 

KUALA LUMPUR – Jumlah gaji minimum sebanyak RM1,500 bukanlah angka yang besar dan masih di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Berikutan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan.

Ujar beliau, isu utama membawa kepada kesukaran pelaksanaan gaji minimum adalah ketidakpatuhan majikan dan kekurangan penguatkuasaan secara menyeluruh.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Bera itu berkata, majikan mendakwa pelaksanaan gaji minimum yang sepatutnya berkuat kuasa Mei tahun lalu gagal dilaksanakan kerana kerajaan belum mengubahsuai sebut harga dalam dokumen tender yang berkaitan.

“Dalam masa yang sama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memaklumkan masih ada pekerja termasuk kontraktor tidak dibayar dengan gaji minima sebahagian besar pekerja dalam golongan B40 masih menerima kadar minimum lama iaitu RM1,200 sebulan menunggu dengan penuh harapan bahawa mereka akan mendapat peningkatan gaji RM300 menjadikan RM1,500 menjelang 1 Januari 2023 tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

“Pekerja kontrak, pekerja pembersihan, tukang kebun, pengawal keselamatan di bangunan kerajaan masih belum menikmati gaji minima.

“Alasan yang diberikan syarikat-syarikat kontraktor adalah kerajaan belum mengubahsuai sebut harga dalam dokumen tender mereka oleh itu saya berharap kerajaan mulai hari ini mengambil tindakan segera supaya syarikat-syarikat tersebut tidak memberikan alasan utk memberikan gaji minima kepada pekerja mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Bajet 2023 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Gaji minimum diluluskan sewaktu Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Beliau mengumumkan perkara itu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada 19 Mac 2022.

Bagaimanapun, pada 27 Disember lalu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar mengumumkan penangguhan pelaksanaan gaji minimum.

Ismail Sabri berkata, gaji minimum sepatutnya salah satu usaha kerajaan untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat.

“Di bawah kerajaan dahulu, kita telah pun mengarahkan pihak terbabit membuat kajian terperinci pelaksanaan gaji minimum berdasarkan lokaliti dan juga saiz keluarga.

“Sebagai contoh gaji minimum di Kuala Lumpur sepatutnya berbeza dengan Bera. Sewa rumah di Bera lebih rendah daripada sewa rumah di Kuala Lumpur. Kos sara hidup di Kuala Lumpur juga jauh lebih tinggi. Begitu juga dengan keluarga tiga orang berbeza dengan saiz keluarga enam orang.

“Sejak tahun 2019 inflasi makanan meningkat lebih lima peratus setahun, manakala gaji pekerja di negara ini meningkat secara purata tiga peratus setahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette