NUBE salahkan BNM, didakwa lindungi komuniti perniagaan

 

NUBE salahkan BNM, didakwa lindungi komuniti perniagaan

 

 

KUALA LUMPUR — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) kecewa dengan peranan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan kestabilan monetari, kewangan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan kian terhakis.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, ia dapat dilihat apabila bank pusat itu gagal merapatkan ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan rakyat, peningkatan kos sara hidup dan nilai ringgit yang semakin menyusut.

“Salah satu fungsi penting BNM ialah menjadi jurubank dan penasihat kepada kerajaan menerusi penyampaian perkhidmatan yang cekap dengan melibatkan orang ramai.

“BNM gagal untuk merapatkan ketidaksamaan, malah ia menjadi semakin meluas. Sebanyak 80 peratus rakyat Malaysia berada dalam kategori B40 dan M40.

“Tidak sampai sejam perjalanan dari ibu pejabat BNM ada sebuah penempatan orang Asli. Komuniti di situ tiada kemudahan bekalan air bersih walaupun sudah 65 tahun negara Merdeka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa, ketidaktentuan pendapatan terjadi disebabkan kecenderungan BNM untuk melindungi komuniti perniagaan, orang kaya, berpengaruh dan berkuasa, sedangkan pelindungan asas untuk rakyat, orang miskin dan golongan pekerja telah hilang dari radar BNM.

Dakwanya, BNM lupa bahawa juzuk terpenting dalam sektor perbankan adalah rakyat, berbanding memihak kepada golongan kaya dan berkuasa.

“Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak ke atas sumber-sumber di bumi. Mencari rezeki, menjaga dan melindungi keluarga mereka.

“Apabila kita menghadkan peluang sesetengah orang dalam masyarakat, kita sebenarnya merampas hak mereka dalam perlembagaan dan hak asasi manusia,” katanya.

Solomon turut mengimbas sifat amanah dan integriti Gabenor pertama bank pusat itu, Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali yang membina BNM dan membentuk negara.

Katanya, rakyat Malaysia mengenali Ismail yang mempunyai pengaruh yang luas bukan sahaja dalam landskap ekonomi dan kewangan, tetapi dalam kehidupan peribadi dan profesional rakyat Malaysia.

“Pada tahun 2018, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus pernah berkata bahawa kepercayaan beliau paling teguh mengenai cara terbaik untuk kita menghormati Allahyarham adalah meneruskan visi bank pusat yang bebas, cekap dan dihormati.

“Malangnya tindak tanduk BNM hari ini adalah sebaliknya dan sudah pasti Ismail akan kecewa jika beliau mengetahui tentang pendekatan para penggantinya,” katanya.

Sehubungan itu, Solomon menggesa menghentikan mentaliti kelab orang kaya dan bertanggungjawab menegakkan kepercayaannya dalam menghormati misi Ismail.

“Gabenor BNM tidak harus menjadikan Malaysia sebagai Sri Lanka yang berdepan dengan kemelut ekonomi dan politik,” katanya.