Berapa Kos Membesarkan Seorang Anak? Di KL, Kajian Kata RM1,300 Sebulan

 

Berapa Kos Membesarkan Seorang Anak? Di KL, Kajian Kata RM1,300 Sebulan

 

 

” Anak-anak adalah rezeki “

Itulah ungkapan yang kita sering kali diungkapkan sejak dari dulu lagi. Gelak dan tangisan cahaya mata memberi seribu satu makna buat ibu dan bapa.

Namun di sebalik cubaan untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak, ibu bapa berhadapan dengan cabaran hebat dalam membesarkan zuriat mereka. Kos untuk membesarkan anak semakin lama semakin mahal sehingga memberi tekanan yang besar terhadap kehidupan seharian ibu bapa.

Ada sebahagian para ibu yang terpaksa mengorbankan karier mereka demi menjaga anak-anak. Ada juga ibu yang terpaksa meneruskan bekerja bagi mencari duit di samping suami bagi membesarkan anak-anak. Kesemua pilihan itu kebiasaannya dibuat untuk memberikan yang terbaik untuk masa depan cahaya mata mereka.

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh syarikat insurans AIA, kos membesarkan anak bermula dari lahir sehingga tamat universiti di Malaysia boleh mencapai RM1.1 juta. Manakala di Amerika Syarikat, Brookings Institute menganggarkan sesebuah keluarga perlu membelanjakan $310,605 untuk membesarkan anak sehingga berusia 18 tahun.

Perbelanjaan untuk anak-anak tidak kekal sama sahaja di semua peringkat usia kehidupan mereka. Secara kebiasaannya, kos terbesar yang perlu ditanggung ibu bapa ialah ketika anak mereka perlu melanjutkan pelajaran di insitusi pengajian tinggi.

Namun begitu, isu yang lebih kritikal mengenai kos membesarkan seorang anak ini bukannya terletak ketika mereka mahu melanjutkan pengajian, akan tetapi apabila anak-anak itu masih kecil. Ketika di peringkat ini, ibu bapa mungkin berada di fasa awal karier mereka pada usia lewat 20-an ataupun awal 30-an, sekaligus menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan yang besar.

” But babies are expensive “. Ibu bapa terpaksa mengeluarkan wang bagi membeli bekalan susu formula yang berharga ratusan ringgit buat anak-anak kecil mereka. Di samping itu, sebahagian besar lagi perbelanjaan anak-anak akan digunakan untuk membayar pengasuh sekiranya kedua-dua ibu bapa itu bekerja.

Menurut Laporan Belanjawanku yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) & Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) pada tahun 2021, kos membesarkan seorang anak di Lembah Klang adalah sekitar RM1,320 sebulan. Di seluruh Malaysia, secara puratanya perbelanjaan bagi sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak adalah sebanyak RM5,102 sebulan. Jika dibandingkan, angka itu RM1,145 ataupun 28.9% lebih tinggi daripada perbelanjaan pasangan yang sudah berkahwin, namun belum memiliki anak (RM3,957).

Antara faktor utama yang menyebabkan ibu bapa di Malaysia sukar untuk membesarkan anak-anak mereka dengan punca kewangan yang stabil ialah kerana mereka sering menerima gaji yang rendah. Masalah struktur ekonomi di Malaysia telah menyebabkan sebahagian besar pekerja di negara ini meraih gaji yang begitu rendah. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji penengah untuk pekerja di Malaysia pada tahun 2021 hanyalah RM2,250 sebulan.

Jika kedua-dua ibu bapa bekerja, boleh dikatakan pendapatan sebahagian besar ibu bapa di Malaysia hanyalah sekitar RM4,500 sebulan. Angka ini lebih rendah berbanding anggaran pendapatan penengah isi rumah di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sekitar RM5,209 sebulan yang turut mengambil kira-kira pindahan semasa seperti bantuan Kerajaan ataupun bantuan zakat yang berjumlah sekitar RM737 sebulan.

Perkara ini semestinya memberi tekanan buat ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Kos susu formula premium sahaja boleh mencecah sehingga RM2,400 setahun ataupun sekitar RM200 sebulan. Belanja membeli lampin pakai buang pula dianggarkan sekitar RM70 sebulan. Kos terbesar, iaitu kos menghantar anak ke pusat asuhan dianggarkan sekitar RM600 sehingga RM1,200 sebulan.

Dengan pendapatan yang rata-rata rendah, ibu bapa terpaksa mencari jalan bagi menjimatkan perbelanjaan terhadap anak-anak. Menghantar anak ke pusat-pusat asuhan tidak berdaftar antara pilihan yang diambil mereka.

Walaubagaimanapun, keputusan ini bukanlah sesuatu yang ideal buat ibu bapa. Namun, apa pilihan yang mereka ada? Pusat-pusat asuhan yang tidak berdaftar seperti ini pada kebiasaannya tidak mempunyai sistem pemantauan yang lengkap seperti CCTV, sekaligus membuka ruang kepada kes-kes penderaan terhadap kanak-kanak.

Pengasuh yang berada di pusat asuhan tidak berdaftar (bahkan yang berdaftar) juga rata-ratanya tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang baik dalam mengasuh kanak-kanak. Hakikatnya, kebanyakan pengasuh yang diambil tidak mempunyai sebarang kelayakan sewajarnya untuk mengasuh. Bagi meminimumkan kos, pengasuh dibayar pada paras gaji minimum dan adakalanya dibawah gaji minimum.

Nisbah seorang pengasuh terhadap kanak-kanak yang dijaga mereka juga tinggi sekaligus mewujudkan suasana yang tidak kondusif untuk kanak-kanak membesar. Mengikut Jabatan Kebajikan Malaysia, seorang pengasuh hanya dibenarkan menjaga sehingga tiga orang kanak-kanak jika mengasuh kanak-kanak pada julat usia sehingga satu tahun.

Bagi kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun pula, nisbah pengasuh kepada kanak-kanak adalah lima orang manakala untuk usia tiga hingga empat tahun adalah sebanyak 10 orang.

Kerajaan Perlu Fokus Perkembangan Awal Kanak-Kanak

Di negara-negara maju, Kerajaan menyediakan liputan bantuan yang luas untuk membantu ibu bapa membesarkan anak-anak mereka. Di Australia umpamanya, Kerajaan menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak sehingga 85% kepada keluarga berpendapatan rendah.

Di New Zealand pula Kerajaan menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak selama 50 jam seminggu pada kadar $5.69 sejam (bersamaan $284.50 seminggu).

Malaysia secara khususnya tidak mempunyai bantuan tunai terhadap penjagaan kanak-kanak walaupun Kerajaan menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikenali sebagai TASKA/TABIKA KEMAS dengan caj bulanan yang minimum.

Usia awal kanak-kanak merupakan fasa penting yang memberi kesan jangka panjang buat kanak-kanak tersebut apabila menginjak dewasa. Asas-asas penting kesihatan, kognitif dan perkembagan kanak-kanak berlaku pada 1,000 hari pertama kanak-kanak tersebut. Kegagalan mewujudkan persekitaran tumbesaran yang selesa di awal usia kanak-kanak boleh menjejaskan masa depan mereka.

Di New Zealand pula Kerajaan menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak selama 50 jam seminggu pada kadar $5.69 sejam (bersamaan $284.50 seminggu).

Malaysia secara khususnya tidak mempunyai bantuan tunai terhadap penjagaan kanak-kanak walaupun Kerajaan menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikenali sebagai TASKA/TABIKA KEMAS dengan caj bulanan yang minimum.

Usia awal kanak-kanak merupakan fasa penting yang memberi kesan jangka panjang buat kanak-kanak tersebut apabila menginjak dewasa. Asas-asas penting kesihatan, kognitif dan perkembagan kanak-kanak berlaku pada 1,000 hari pertama kanak-kanak tersebut. Kegagalan mewujudkan persekitaran tumbesaran yang selesa di awal usia kanak-kanak boleh menjejaskan masa depan mereka.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan di Malaysia telah menurun kepada 1.7 bayi bagi setiap wanita pada tahun 2021 berbanding 4.9 pada tahun 1970. Jika trend ini berterusan, ini bermaksud populasi rakyat Malaysia akan berkurang kerana jumlah kelahiran adalah lebih rendah berbanding kadar gantian sebanyak 2.1.

Dengan bilangan kanak-kanak yang semakin berkurangan, Kerajaan boleh mempertimbangkan pelbagai inisiatif tambahan seperti bantuan tunai universal buat kanak-kanak dan program sarapan percuma untuk meringankan beban ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

Read More: https://www.facebook.com/259701940707753/posts/pfbid0vdqWpfAmkT4z1tWvQHQgn92SwEv2Fkj1Pw2Mqw6693t14gpQZyfCEvewtoy8JamWl/?mibextid=Nif5oz