Kerajaan Disyor Perkenal Bayaran Khas Perayaan, Ringankan Kos Sara Hidup Pekerja

 

Kerajaan Disyor Perkenal Bayaran Khas Perayaan, Ringankan Kos Sara Hidup Pekerja

 

 

Kerajaan Disyor Perkenal Bayaran Khas Perayaan, Ringankan Kos Sara Hidup Pekerja KUALA LUMPUR - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mengesyorkan kerajaan memperkenalkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar diraikan di negara ini. Presidennya, J. Solomon berkata, memandangkan portfolio khas yang menyelia “kos sara hidup” di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pekerja berharap agar satu usaha holistik diambil oleh Kabinet. Menurut beliau, pihaknya berpandangan beberapa pendekatan perlu diambil oleh kerajaan dan majikan untuk membantu pekerja diberikan elaun kos sara hidup yang munasabah bagi menangani kenaikan kos secara drastik. “Salah satu cara yang dimaksudkan adalah dengan mengagihkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar yang disambut di Malaysia. “SPCAAM mencadangkan imbuhan ini dibayar semasa Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas setiap tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Justeru, Solomon berkata, sudah tiba masanya untuk majikan mempertimbangkan keperluan yang boleh diagihkan kepada setiap pekerja semasa perayaan besar. Solomon yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menegaskan sejak kebelakangan ini, kerajaan dengan pelbagai pihak telah membincangkan kesan kenaikan kos sara hidup dan ketidakselarasan gaji pekerja di Malaysia. “Malah keadaan bertambah buruk dengan wabak COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia tiga tahun lalu yang turut telah menjejaskan pendapatan bersih yang dibawa pulang. “Walaupun begitu, usaha untuk meminimumkan beban kewangan pekerja terutamanya bagi mereka dari B40 dan M40 masih belum dapat diselesaikan sehingga kini,” katanya. Dalam pada itu, Solomon berkata, SPCAAM yakin bahawa langkah berkenaan akan membantu mengurangkan kesan kewangan yang terpaksa dihadapi pekerja setiap kali perayaan. “Walaupun ada beberapa majikan dan juga kerajaan membuat bayaran peruntukan khas sekali setahun, sesetengah majikan lain memperuntukkan pinjaman atau pendahuluan. “Ia perlu dibayar secara ansuran namun tindakan tersebut tidak menyelesaikan masalah,” katanya. Ujarnya lagi, SPCAAM menyeru agar kerajaan melaksanakan syor itu dengan memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan pembayaran khas perayaan kepada pekerja dan perlu dipatuhi oleh majikan. “Dengan segera, kerajaan boleh menguatkuasakan perkara ini di semua syarikat milik kerajaan (GOC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mereka. “SPCAAM yakin pelaksanaan kemudahan itu tidak akan menjejaskan kos operasi majikan, sebaliknya dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan syarikat,” katanya. - Getaran, 17 Januari 2023

sumber : https://www.getaran.my/artikel/semasa/39134/kerajaan-disyor-perkenal-bayaran-khas-perayaan-ringankan-kos-sara-hidup-pekerja