CAMU desak MTUC tarik balik pendirian sokong pindaan RUU Kesatuan Sekerja

 

CAMU desak MTUC tarik balik pendirian sokong pindaan RUU Kesatuan Sekerja

 

 

CAMU desak MTUC tarik balik pendirian sokong pindaan RUU Kesatuan Sekerja Oleh Rafidah Mat Ruzki Januari 13, 2023 @ 2:25pm PUTRAJAYA: Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) mahu Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pimpinan kesatuan itu menarik balik pendirian terbaharu yang dibuat kepada Menteri dan Kementerian Sumber Manusia, baru-baru ini berhubung sokongan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan 2022). Pengerusi CAMU, Rudy Rusly, berkata ia berikutan pendirian berkenaan bertentangan dengan pendirian untuk menolak pindaan itu secara sebulat suara seperti diputuskan MTUC dalam dua pertemuan pada tahun lalu. Beliau yang menyatakan perasaan terkejut dan kecewa dengan pendirian terkini barisan kepimpinan MTUC 2022-2025 itu, berkata pengakuan berkenaan jelas bertentangan dengan keputusan Majlis Am dan Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42. Rudy berkata, pendirian berkenaan dimaklumkan kepada Menteri Sumber Manusia dalam pertemuan antara Pemangku Presiden MTUC Effendy Abdul Ghani dan Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor dengan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, dan pegawai tertinggi Kementerian pada 5 Januari lalu, iaitu sokongan terhadap pindaan RUU Kesatuan Sekerja, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022. Katanya, dalam sesi pertemuan pertama, Mesyuarat Khas Majlis Am MTUC pada 26 Jun 2022 sebulat suara mencapai keputusan untuk menolak RUU itu. Pada mesyuarat itu, katanya, beliau selaku Pengerusi CAMU, merangkap Setiausaha Agung Club Employees Union of Peninsular Malaysia, membentangkan perkara-perkara berkaitan dengan implikasi negatif dan kesan buruk ke atas Kesatuan Sekerja dan pekerja sekiranya pindaan itu dilaksanakan. "Maka, Mesyuarat Majlis Am sebulat suara menolak RUU itu dan menggesa pimpinan MTUC untuk menyuarakan kepada pihak Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mengenai pendirian itu. "Kali kedua, Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42 pada 2 Julai 2022, Effendy Abdul Ghani selaku Pemangku Presiden, berkata bahawa beliau berkongsi kebimbangan mengenai cadangan yang dikemukakan dalam RUU Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 membabitkan isu mewujudkan kepelbagaian kesatuan sekerja seharusnya dikaji lebih terperinci," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Rudy berkata, Effendy juga memaklumkan bahawa dalam mesyuarat Majlis Am MTUC pada 26 Jun 2022, majoriti kesatuan gabungan membantah usul itu dan memohon agar Kementerian Sumber Manusia menangguhkan pembentangan kali kedua pada sidang Parlimen akan datang selain memanggil MTUC secara tripartit bersama pihak berkepentingan untuk membicarakan dan berbincang mengenai isu itu secara terperinci demi kebaikan semua. Sehubungan itu, beliau berkata, jelas bahawa Ahli-ahli Majlis Am MTUC melalui mesyuarat Majlis Am pada 26 Jun 2022 dan juga semasa Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42 sebulat suara membantah dan menolak RUU itu. "Apa yang kita lihat pada hari ini adalah sesuatu yang amat malang sekali kepada gerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia. "MTUC yang kononnya menjadi pejuang kaum pekerja sejak 1949, gagal memainkan peranan sebenarnya dalam memperjuangkan nasib pekerja," katanya. Beliau berkata, tindakan itu mencerminkan, keputusan dalam dua mesyuarat tertinggi MTUC tidak dihormati dan terus memperdayakan keputusan yang dibuat oleh majoriti Ahli Majlis Am. Rudy berkata, pendirian terkini MTUC itu disampaikan oleh seorang pegawai tertinggi Kementerian Sumber Manusia pada satu mesyuarat penting antara pihak berkepentingan di Parlimen baru-baru ini. "Sudah tentu, tindakan barisan kepimpinan MTUC itu satu pengkhianatan terhadap warga pekerja dan juga Kesatuan Sekerja di Malaysia. Keseluruhan Ahli Majlis Am diperdayakan pemimpin MTUC sesi 2022-2025. "CAMU menzahirkan rasa kesal dengan tindakan MTUC itu yang terang- terang membelakangkan kepentingan pekerja dan gerakan Kesatuan Sekerja," katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1051400/camu-desak-mtuc-tarik-balik-pendirian-sokong-pindaan-ruu-kesatuan