SPCAAM gesa pertahan badan kehakiman negara

 

SPCAAM gesa pertahan badan kehakiman negara

 

 

PETALING JAYA – Badan kehakiman harus mencari kekuatan dalam menentang sebarang campur tangan serta memainkan peranan sepatutnya tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D. Angelus berkata, dengan sokongan rakyat di negara ini, kebebasan badan kehakiman perlu dipertahankan.

“Kelas perniagaan dan politik di Malaysia telah lama berusaha untuk mengawal badan kehakiman dalam memenuhi kepentingan sendiri.

“Ini telah berjaya dalam banyak keadaan dan rakyat biasa di negara ini akhirnya membayar harga yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta semua ahli politik di negara ini perlu tertakluk kepada kedaulatan undang-undang sebagaimana semua rakyat Malaysia yang lain.

“Beliau dan penyokongnya berniat untuk merampas dan mengalih proses kehakiman melibatkan dakwaan rasuah terhadapnya.

“Tekanan dikenakan ke atas mahkamah supaya membatalkan keputusan bersalah yang terdahulu adalah tindakan terakhir yang terdesak di pihak mereka.

“Sebagai sebahagian daripada taktik intimidasi keseluruhan yang digunakan, umpan kaum juga digunakan dan ini hampir tidak pernah gagal digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sekutunya,” katanya.

Callistus berkata, dalam masa sama, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan dakwaan tidak berasas mengenai bukan Islam dan bukan Bumiputera yang kononnya menjadi punca kepada segala masalah.

“Ancaman pertumpahan darah perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya ia berlaku dalam kes lain, adakah ia akan diterima?,” katanya. -KOSMO! ONLINE