Cuepacs sedia turun ke jalanan jika gaji tak naik sebelum PRU15

 

Cuepacs sedia turun ke jalanan jika gaji tak naik sebelum PRU15

 

 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi peringatan kepada kerajaan agar menaikkan gaji kakitangan awam sebelum pilihan raya umum ke-15 atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil.

"Jika gaji mereka tidak disemak sebelum parlimen dibubarkan,Cuepacs bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam," katanya yang dipetik oleh portal Free Malaysia Today.

Adnan berkata, perhimpunan itu juga akan menuntut pengurangan kos barangan sebelum pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Sebelum ini, Cuepacs menuntut supaya kerajaan melaksanakan satu kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam susulan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kenaikan harga barangan keperluan.

Portal itu juga memtik Adnan sebagai berkata, kini sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan inisiatif untuk memberi manfaat kepada penjawat awam yang telah dijanjikan.

Dia berkata, antara lain, cadangan lain termasuk:

  • pelaksanaan gaji minimum RM1,800 untuk kakitangan awam;

  • dua kenaikan setiap tahun;

  • sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil dan saksama;

  • elaun pelbagai tugas;

  • elaun batik dan pakaian kebangsaan;

  • mengisi kekosongan jawatan pembantu tadbir dengan segera;

  • tiada pelupusan jawatan yang tidak diisi selama dua tahun seperti yang terkandung dalam pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini sebagai langkah penjimatan kos; dan

  • menamakan semula jawatan pembantu tadbir kepada pegawai perkeranian, seperti sebelum ini.

Katanya, struktur gaji semasa penjawat awam sudah dilaksanakan sejak 2002 dan wajar dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan zaman semasa.