NUBE: Piket kebangsaan fasa kelima bantah HSBC diadakan di Selangor

 

NUBE: Piket kebangsaan fasa kelima bantah HSBC diadakan di Selangor

 

 

KOTA BHARU, 24 Julai: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang kecewa dengan dasar HSBC Bank Malaysia akan mengadakan piket kebangsaan fasa kelima di Selangor bagi meneruskan protes terhadap bank antarabangsa itu.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, tanpa perjuangan ahli-ahli NUBE tidak akan dapat melihat hasil yang diharap dan disasarkan.

“(Oleh itu), perjuangan kita harus berterusan,” kata beliau di akhir Piket Kebangsaan NUBE fasa keempat yang berlangsung di hadapan HSBC Bank Malaysia di sini, semalam.

“(Kita) akan terus berjuang,” tegas beliau yang mengumumkan piket seterusnya akan diadakan di Selangor.

Fasa pertama piket yang diadakan untuk membantah sikap diskriminasi, ketidakadilan dan penindasan HSBC Bank Malaysia berlangsung di Johor Bahru, dan diikuti di George Town, Ipoh dan hari ini di sini.

Menurut Bro Solomon, sebagaimana disebutkan oleh YB Hilmi Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan NUBE kelmarin,”tanpa perjuangan kita tidak akan mencapai hasil daripada majikan.”

“Perjuangan NUBE selama ini telah ikut undang-undang, tidak seperti HSBC yang telah melanggar undang-undang (buruh),” kata beliau.

Beliau juga berkata, NUBE telah menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakcob memorandum mengenai tindakan HSBC Bank Malaysia yang tidak mahu menyelesaikan pertikaian industri.

“Pada 2 Julai, kita telah sampaikan memorandum kepada PM yang kita kasihi dan sayangi. Tetapi sehingga ke hari ini kita tidak dapat apa-apa respons daripada PM.

Dalam pada itu, kenyataan NUBE berkata pihaknya meneruskan piket kebangsaan dengan mengadakan piket fasa keempat, yang berlangsung di pekarangan HSBC Bank Malaysia di sini ekoran sikap hipokrit HSBC Bank Malaysia meneruskan dasar mendiskriminasi dan menganiaya ahli-ahli NUBE kalangan B40 dan M40.

“Selepas tidak mahu menyelesaikan 300 aduan industri yang difailkan oleh ahli-ahli NUBE sejak tahun 2019, dalam tindakan terbaharunya HSBC Bank Malaysia melengah-lengahkan pelarasan gaji bagi pekerja-pekerja kategori CSB (Customer Service Bankers) yang berkhidmat di bank tersebut.

“Kelewatan pelarasan gaji dan keengganan mahu memuktamadkan Perjanjian Kolektif (CA) sejak dua tahun lalu, dengan sendiri menunjukkan HSBC Bank Malaysia dengan sengaja mahu mendendam ahli-ahli NUBE, selain tidak mahu menyelesaikan isu-isu tertunggak,” kata kenyataan NUBE.

Kata NUBE, pihaknya berharap pihak berkuasa akan bertindak dengan segera untuk menghentikan dasar tidak perikemanusiaan HSBC Bank Malaysia.

“Kerajaan Pusat dan Kerajaan-kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan dalam perkara ini.

“NUBE mahu Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap seperti tidak memperbaharui lesen operasi bisnes bagi bank-bank yang menganiaya pekerja dan enggan menyelesaikan aduan dan pertikaian industri,” kata NUBE.

Untuk rekod, ini kali pertama NUBE berhadapan dengan 300 pertikaian industri yang tidak mahu diselesaikan oleh HSBC Bank Malaysia. Malah, jumlah itu juga merupakan rekod dalam sejarah kesatuan sekerja di Malaysia.

Menurut NUBE, pihaknya terpaksa mengambil tindakan berpiket fasa keempat memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia tidak mahu mengadakan/memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan CA.

Katanya, sikap HSBC Bank Malaysia itu menunjukkan ia tidak jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan isu pekerja, sebaliknya mahu melengah-lengahkan proses dialog sosial sejak tahun 2019.