PIKET KEBANGSAAN: "TIADA HASIL TANPA PERJUANGAN", TEGAS BRO J SOLOMON

 

PIKET KEBANGSAAN: "TIADA HASIL TANPA PERJUANGAN", TEGAS BRO J SOLOMON

 

 

KOTA BHARU, 25 Julai: Setiausaha Agung NUBE, Bro J Solomon menegaskan, tanpa perjuangan ahli-ahli NUBE tidak akan dapat melihat hasil yang diharap dan disasarkan.

"(Oleh itu), perjuangan kita harus berterusan," kata beliau di akhir Piket Kebangsaan NUBE fasa keempat yang berlangsung di hadapan HSBC Bank Malaysia di sini, semalam.

"(Kita) akan terus berjuang," tegas beliau yang mengumumkan piket seterusnya akan diadakan di Selangor.

Fasa pertama piket yang diadakan untuk membantah sikap diskriminasi, ketidakadilan dan penindasan HSBC Bank Malaysia berlangsung di Johor Bahru, dan diikuti di George Town, Ipoh dan semalam di sini.

Menurut Bro Solomon, sebagaimana disebutkan oleh YB Hilmi Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan NUBE kelmarin,"tanpa perjuangan kita tidak akan mencapai hasil daripada majikan."

"Perjuangan NUBE selama ini telah ikut undang-undang, tidak seperti HSBC yang telah melanggar undang-undang (buruh)," kata beliau.

Bro Solomon juga berkata,  NUBE telah menyerahkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yakcob memorandum mengenai tindakan HSBC Bank Malaysia yang tidak mahu menyelesaikan pertikaian industri.

"Pada 2 Julai, kita telah sampaikan memorandum kepada PM yang kita kasihi dan sayangi. Tetapi sehingga ke hari ini kita tidak dapat apa-apa respons daripada PM.

"Tetapi kita dengar PM telah datang ke Kelantan. Kita berharap suara kita boleh didengar oleh PM kita," kata beliau.

Bro Solomon berkata, memandangkan Perdana Menteri telah berjanji akan menjaga setiap keluarga Malaysia, "kita berharap PM akan menjaga keluarga ahli NUBE."

"Keluarga NUBE bukan keluarga asing, tapi adalah kalangan keluarga Malaysia," tambah beliau.