CAMU mahu PM campur tangan tangguh RUU Kesatuan Sekerja demi pekerja

 

CAMU mahu PM campur tangan tangguh RUU Kesatuan Sekerja demi pekerja

 

 

KUALA LUMPUR: Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) sekali lagi mendesak kerajaan agar menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022.

Pengerusinya, Rudy Rusly berkata, pihaknya kekal berpendirian RUU itu akan memberi peluang kepada penindasan dan tindakan zalim terhadap golongan pekerja di negara ini.

Rudy berkata, CAMU juga mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terutama Kementerian Sumber Manusia dengan segera menangguhkan pembentangan bacaan kali kedua, yang dijangka semasa sidang Parlimen Julai-Ogos ini, dan mengadakan perundingan yang jujur dan rasmi bersama kesatuan sekerja sebelum membentangkan RUU yang disemak di Parlimen.

Kata beliau, pada 2 Julai lalu, CAMU telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri menggesa penangguhan RUU itu.

“Selain itu, surat gesaan juga telah dihantar kepada YB Menteri Sumber Manusia. Parti-parti politik utama negara dan Ahli-ahli Parlimen turut diminta supaya menyokong langkah CAMU yang mahu RUU ini ditangguhkan,” kata beliau.

Rudy berkata, kajian mendapati pindaan RUU berkenaan akan menjadikan suara kesatuan sekerja lemah kerana tindakan itu membenarkan kewujudan kesatuan sekerja yang pelbagai.

“Sudah tentu dengan adanya pelbagai kesatuan sekerja akan menyebabkan persaingan tidak harmoni di tempat kerja, perebutan mendapat kuasa di tempat sekerja, kesatuan sekerja akan hilang tumpuan untuk perlindungan dan hak pekerja.

“Akibatnya cadangan perjanjian kerahsiaan (CA) yang disediakan tidak berkesan dan hanya menguntungkan majikan,” kata beliau pada sidang media yang diadakan hari ini.

Menjelaskan perkara tersebut, Rudy berkata: “Saya beri contoh rakan kesatuan sekerja saya di tempat lain, di tempat dia ada 26 kesatuan, anda bayangkan 26 cadangan perjanjian bersama.”

“Bagaimana nak tumpukan perjanjian bersama, kerana ia mengandungi liputan untuk faedah kepada pekerja,” tambah beliau.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah wakil 40 kesatuan individu dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (UNI-MLC) yang dianggotai lebih 100 kesatuan.

RUU itu telah dibawa ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.

Menurut beliau, akta tersebut merupakan kaedah kawalan utama kerajaan ke atas landskap buruh yang tersusun dan lingkungan kawalan itu meliputi hal ehwal dalaman kesatuan sekerja, selain mengawal hubungan kesatuan-pengurusan yang memihak kepada majikan.

Dalam sidang media yang sama, bekas Presiden Kesatuan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, RUU itu perlu ditangguhkan dan kerajaan harus kembali ke meja rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Tapi kebelakangan ini, disebab kerajaan kita asyik bertukar saja, kita undi pun undi sekali, tetapi dapat tiga Perdana Menteri, dapat bonus, jadi kita tak tahu sebenarnya siapa yang benar-benar buat pindaan. Jadi kita tak tahu datang dari mana.

“Kalau kata menteri dulu atau Menteri Sumber Manusia pun dah tukar. Jadi kita ada kemusykilan di situ.

Elok Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebagai sebagai seorang pemimpin rakyat, seorang bapa menasihatkan agar perkara ini dibawa balik ke meja rundingan atas semangat keluarga Malaysia,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia (NUPCIW).

Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), A.Karuna dan Pengamal Perhubungan Perusahaan, A. Sivananthan.