Sidang Kemuncak ASEAN yang baru sahaja berakhir adalah merupakan satu kejayaan besar bagi negara Malaysia. Lebih khusus lagi, ianya telah meletakkan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim, sebagai satu kuasa diplomatik diperingkat antarabangsa. Adalah sukar untuk membayangkan dengan mana-mana pemimpin dunia yang lain yang mampu mencapai kejayaan sebesar ini — yakni dengan menghimpunkan tokoh-tokoh seperti Presiden Donald Trump dari Amerika Serikat, Lula da Silva dari Brazil, Cyril Ramaphosa dari Afrika Selatan dan Perdana Menteri China, Li Qiang — dalam satu persidangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan politik dunia yang sedang berpecah-belah pada masa kini.
Persidangan di Malaysia itu, yang merupakan sebahagian dari pengajaran dalam seni diplomasi, telah diwar-warkan oleh media antarabangsa sebagai suatu kejayaan besar. Maka, sudah tentu akan ada pihak yang merasa kecewa, dan dalam beberapa hal, kekecewaan itu ada asasnya. Namun, kita perlu mengakui bahwa ruang untuk mengadakan dialog telah diwujudkan. Adalah mustahil untuk mencapai kesepakatan dalam semua perkara, dan ini tidak pernah berlaku walaupun pada masa yang terbaik sekalipun.
Satu perubahan yang agak ketara dalam dinamika geopolitik global ialah dunia kini berada dalam keadaan multipolar, dengan Amerika Serikat dan China bersaing untuk mengambil tampuk kepemimpinan global. Negara-negara seperti Malaysia misalnya, terpaksa menyesuaikan diri dan mengurus persekitaran geopolitik yang semakin kompleks ini dengan baik.
Walaupun kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah menjadikan Malaysia dipandang tinggi oleh kuasa-kuasa besar dunia, kejayaan ini perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat biasa dalam negara Malaysia.
Terdapat banyak masalah yang membelenggu golongan pekerja yang berpendapatan rendah di Malaysia yang perlu ditangani pada tahap struktural.Walaupun kerajaan Malaysia jelas berupaya berdiri setaraf dengan kuasa-kuasa besar dunia dalam hal diplomasi antarabangsa, namun masih banyak yang belum dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup para pekerja bawahan.
Setakat ini, usaha-usaha yang dijalankan hanya bersifat simbolik. Malaysia masih belum mempunyai gaji minimum yang setimpal dengan tahap gaji layak hidup. Hak berkesatuan sekerja pula telah dihakis sedikit demi sedikit dari masa ke semasa. Gaji pula ditekan melalui eksploitasi ke atas buruh migran. Kementerian Sumber Manusia pula kelihatan lebih berminat untuk mempromosikan akan imejnya sendiri serta dilihat sebagai berpihak kepada kepentingan golongan korporat besar. Sesungguhnya satu kebangkitan pekerja mungkin akan berlaku, walaupun kepepimpinan kesatuan sekerja di negara ini masih agak lemah.
Perdana Menteri sendiri perlu memberikan perhatian terhadap tahap perlindungan sosial untuk para pekerja di negara ini. Ia mesti dikaji secara menyeluruh, dan seterusnya langkah-langkah perlu diperkenalkan agar setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada pendapatan dan standard pekerjaaan yang selayaknya. Tidak ada gunanya kita cemerlang di pentas dunia jika keadaan di tanah air sendiri masih berada dalam keadaan kucar-kacir.