Kepada semua saudara saya dalam SPCAAM, serta pekerja Malaysia dan pengguna secara amnya,
Semakin 2025 menghampiri, kita juga mesti menerima bahawa status quo untuk perlindungan sosial serta hak pekerja dan pengguna di Malaysia tidaklah terjamin sepertimana arus masa dan pusingan planet yang menentukan kitaran setiap tahun.
Dua belas bulan dalam setahun sesuatu yang pasti. Begitu juga pusingan Bumi mengelilingi matahari mengambil masa 365 hari.
Namun perlindungan sosial di Malaysia menjadi satu perjuangan sukar saban tahun.
Malaysia mampu menyediakan perlindungan sosial hebat untuk setiap orang yang dilahirkan dan dibesarkan di sini. Namun mereka yang berkuasa enggan berbuat demikian. Perlindungan diberikan secara selektif, kadangkala dengan manfaat berlebihan untuk kumpulan elit tertentu yang dipilih kerajaan, manakala majoriti rakyat hanya mendapat sisa-sisanya.
Syarikat yang berkuasa dan syarikat berkaitan kerajaan malah badan berkanun tertentu begitu mudah mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja.
Akibatnya, rakyat Malaysia dilayan tidak ubah seperti pekerja asing di segelintir 13 negeri dan wilayah negara ini. Satu contoh adalah dalam pembangunan hartanah, apabila dasar di negeri tertentu jelas berat sebelah terhadap rakyat asing yang mudah bertolak ansur dan mampu membayar harga lebih tinggi untuk kemudahan seperti itu disebabkan nilai mata wang mereka berbanding RM.
Walaupun ada agensi kerajaan tertentu yang baik hati dalam melindungi kebajikan sosial rakyat Malaysia, ada yang bersikap angkuh terhadap kelas pekerja. SPCAAM melihat bahawa ahli politik yang kini berkuasa mempunyai memori pendek. Segelintir pegawai yang dilantik inilah orang sama yang pernah mengutuk kerajaan terdahulu sebagai kononnya angkuh dan berdendam. Bagaimanapun, dalam tempoh begitu singkat, mereka malah lebih teruk daripada parti terdahulu yang mentadbir negara selama lebih 60 tahun.
SPCAAM, iaitu Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia, dibentuk paling utama sebagai fasilitator untuk membantu rakyat Malaysia. Walaupun kami turut menjaga kepentingan pekerja negara lain, kami tidak akan sekali-kali menutup mata terhadap penindasan rakyat yang dilahirkan dan dibesarkan di sini, termasuk mereka daripada negara berbeza yang berkorban demi membangunkan negara ini.
Di ambang 2025 ini, kami menggesa mereka yang berkuasa membaiki kesilapan sosial dilakukan terhadap pekerja dan pengguna di negara ini, khususnya rakyat Malaysia sendiri.
Hak terhadap keselamatan sosial adalah komponen hak asasi manusia yang penting. Ia amat penting dalam menjamin kehidupan yang bermaruah. Rakyat Malaysia patut dilayan dengan baik di negara sendiri oleh mereka yang dilantik untuk melaksanakan pentadbirannya. Begitu juga pekerja asing perlu diberi perlindungan sama kerana mereka juga berhempas pulas mencari rezeki di bumi ini.
Marilah kita jamin perlindungan sosial buat semua di negara ini sebagai misi kita untuk 2025.
Selamat Tahun Baharu kepada saudara saya dalam SPCAAM, selain pekerja dan pengguna Malaysia secara amnya.
Rakan seperjuangan yang sedia berkhidmat,
J SOLOMON
PRESIDEN, SPCAAM