Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial (SPCAAM) menyifatkan fi RM1 untuk pengeluaran wang menggunakan mesin ATM sebagai tidak berperkemanuasiaan dan menindas pekerja.
Pengarah Unit Sosioekonomi SPCAAM Zouhair Rosli berkata kira-kira 12 juta pekerja dengan majoritinya bergaji rendah tidak mampu menjalani kehidupan memuaskan.
Memetik Laporan Survei Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan 2023, Zouhair mengingatkan bahawa separuh daripada pekerja di Malaysia mendapat kurang RM3,000 sebulan–yang hanya mampu menampung keperluan dua individu.
“Namun syarikat tetap menindas mereka dengan fi yang tidak perlu dan tidak berhati perut ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) termasuk Bank Negara dan 11 bank lagi memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di mesin ATM.
Setiausaha agungnya J Solomon juga memberi alasan sama bahawa fi itu membebankan keluarga berpendapatan rendah.
Sementara itu, Zouhair berkata secara purata, rakyat Malaysia menggunakan ATM dua kali sebulan atau RM24 setahun “hanya kerana ATM bank beliau tiada berhampiran rumahnya”.
Katanya, jumlah itu bersamaan bajet makan seorang yang miskin untuk dua hari atau harga satu hidangan pelajar miskin di sekolah bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selama tujuh hari.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga menyokong cadangan supaya fi RM1 itu dimansuhkan.