Gaji Minima RM3,100: Realistik, Adil, dan Mengapa Ia Wajib Dilaksanakan

 

Gaji Minima RM3,100: Realistik, Adil, dan Mengapa Ia Wajib Dilaksanakan

 

 

Oleh: Dr Zouhair Rosli, Pengarah Sosioekonomi, SPCAAM

(Nota: Segala olahan dan analisis data adalah daripada penulis sendiri)

Sudah berpuluh tahun kaum pekerja di Malaysia berhempas pulas memerah keringat, namun realitinya pembahagian kekayaan ekonomi negara masih sangat berat sebelah. Majikan terus menikmati keuntungan besar, sedangkan pekerja yang menggerakkan jentera syarikat terus dibayar dengan gaji yang tidak setimpal. Penindasan berterusan ini wajib dihentikan, dan janji kerajaan untuk mengangkat darjat hidup rakyat mesti dikotakan segera.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji minima RM3,100, ada pihak majikan yang cepat melatah dan melabelkannya sebagai tidak masuk akal. Mari kita lihat satu persatu mengapa nilai gaji minima RM3,100 sebulan ini adalah masuk akal dan adil untuk pekerja.

1. Bukan Tekaan Kosong. Inilah Apa Yang Sepatutnya Pekerja Terima Dalam Realiti Ekonomi Hari Ini

Biar saya jelaskan. Nilai RM3,100 ini bukanlah angka yang dipetik dari langit. Ia dikira secara terperinci bersandarkan lima faktor utama yang perlu diambil kira dalam penetapan gaji minima bagi memastikan pekerja dapat hidup dengan bermaruah:

  1. Keperluan Kos Sara Hidup: Pada tahun 2024, sebuah keluarga empat beranak memerlukan RM4,846 sebulan untuk hidup wajar dan selesa Jika kita ambil senario pasangan yang bekerja dengan dua orang anak, selepas diselaraskan dengan kenaikan harga barang, setiap seorang dari pasangan ini memerlukan sekurang-kurangnya RM2,729 sebulan pada tahun 2025 untuk hidup dengan wajar dan selesa.
  2. Majikan Mampu Untuk Bayar Gaji Yang Lebih Tinggi: Majikan ada kemampuan kewangan untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. Gaji penengah pekerja sektor formal mencecah RM3,167 sebulan pada Disember 2025 berbanding RM3,045 pada Disember 2024, peningkatan sebanyak 4%.
  3. Pekerja Kita Semakin Produktif: Nilai atau hasil ekonomi yang dijana setiap jam oleh setiap pekerja di Malaysia semakin meningkat. Pada 2025, tahap produktiviti per pekerja mencapai tahap yang tertinggi sejak tahun 2020, dengan peningkatan sebanyak 4.1% kepada RM45.3 sejam.
  4. Harga Barangan Semakin Meningkat: Sepanjang 2024 dan 2025, kos makan di luar melambung 4.1%, manakala barangan makanan dan minuman naik 2.1%. Kenaikan ini juga perlu diambil kira dalam penetapan gaji minima.
  5. Pasaran Kerja Berada Dalam Keadaan Yang Stabil – Bersedia Untuk Menyerap Sebarang Kenaikan Gaji: Dengan kadar pengangguran pada 2025 berada di paras 3.0% (terendah dalam 10 tahun), pasaran buruh kita amat bersedia menyerap kenaikan gaji ini tanpa berdepan risiko pengangguran besar-besaran.

Mengambil kira kelima-lima faktor ini secara menyeluruh, angka gaji minima adil yang sepatutnya diterima rakyat adalah RM3,139. Jadi, cadangan RM3,100 oleh MTUC adalah sangat praktikal dan realistik.

2. Menjawab Mitos Majikan Bakal Muflis

Kita sering dihidangkan dengan tahyul dan naratif menakutkan dari Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) kononnya kadar gaji minima ini tidak munasabah dan praktikal. Amaran sebegini sebenarnya tidak berasas dan hanya mencerminkan sikap segelintir majikan yang kedekut dan enggan berkongsi kek ekonomi secara saksama.

Hakikatnya begini: Bagi setiap RM100 nilai ekonomi yang dijana negara pada 2025, syarikat dan majikan mengaut RM62. Pekerja hanya menerima serpihan kecil sebanyak RM33.9 (33.9%), manakala baki RM4.1 dikutip oleh kerajaan.

Agihan 33.9% kepada pekerja ini bukan sekadar rendah, malah lebih buruk berbanding 10 tahun lalu (35.0% pada 2015). Bandingkan dengan negara maju seperti UK (49.8%) atau Jerman (54.7%) di mana hampir separuh kek ekonomi dipulangkan kepada pekerja. Malah, negara membangun setaraf kita seperti Afrika Selatan pun mampu membahagikan 47.2% kepada pekerja mereka.Pernahkah kita dengar syarikat di UK atau Afrika Selatan gulung tikar secara besar-besaran kerana terpaksa membayar gaji yang adil kepada pekerja mereka? Tidak.

Alasan FMM kononnya syarikat akan pening kepala membuat penyelarasan besar bagi "pekerja mahir" juga hanyalah taktik menakut-nakutkan orang awam. Data menunjukkan gaji penengah pekerja mahir pada 2024 sudah pun mencecah paras RM4,679 sebulan, hampir RM1,600 melepasi angka gaji minima yang dicadangkan. Kalau ada penyelarasan sekali pun, ia hanya akan berlau pada tahap yang minima.

3. Masa Untuk Bertindak

Kerajaan melalui Ekonomi MADANI dan RMKe-13 telah berjanji untuk meningkatkan pampasan pekerja Malaysia kepada 40% menjelang 2030, dan 45% menjelang 2033. Janji ini tidak akan tercapai jika kita terus tunduk kepada alasan basi majikan.

Kadar RM3,100 tidak akan menyebabkan mana-mana syarikat rugi atau gulung tikar. Ia sekadar mengurangkan sedikit kantung keuntungan mereka yang sudah sedia membusung demi kelangsungan hidup manusia yang bekerja keras untuk mereka. Inilah masa terbaik untuk kita laksanakan gaji minima yang benar-benar bermaruah.