Rakyat Malaysia Berhak Keatas Media yang Bebas: Oleh Callistus Antony D’Angelus

 

Rakyat Malaysia Berhak Keatas Media yang Bebas: Oleh Callistus Antony D’Angelus

 

 

Kebebasan media dan hak rakyat untuk mendapat akses kepada maklumat adalah hak asasi manusia yang fundamental. Artikel 19 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan bahwa:

“Setiap orang mempunyai hak terhadap kebebasan berpendapat dan bersuara; hak ini termasuklah kebebasan untuk berpendapat tanpa gangguan serta, untuk mencari, menerima dan menyebarkan maklumat dan idea melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”

Pemerintah di seluruh dunia, apabila ianya berkuasa dan tidak mahu dicabar, sering berusaha untuk menyekat kebebasan media. Dalam pelbagai cara dan pada tahap yang berbeza, sejarah sering mengulangi hal seperti ini. Cabaran utama bagi setiap pemerintah adalah sejauh mana ianya dapat kekal benar dalam mempertahankan institusi kebebasan media yang merupakan prasyarat penting bagi setiap amalan demokrasi.

Kerajaan Madani naik berkuasa dengan janji reformasi dan tadbir urus yang baik. Ada aspek yang telah mereka penuhi. Namun, terdapat juga bidang di mana mereka gagal dengan ketara. Salah satu darinya adalah kebebasan media dan kesediaan untuk menerima pandangan serta pendapat yang berbeza.

Semasa berada di pihak pembangkang, parti-parti seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan terutamanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah lantang membantah sekatan yang dikenakan oleh kerajaan ketika itu terhadap media. Tindakan mereka itu adalah benar dan wajar dalam berbuat demikian. Namun kini, apabila mereka berada dalam kerajaan, seolah-olah suara yang dahulu nya menentang tindakan menutup mulut media kini pula menjadi pihak yang mengetatkan kawalan keatasnya.

Portal-portal berita yang dahulunya popular kerana keberanian mereka menjadi suara kepada golongan yang tidak mampu bersuara, kini sebahagiannya telah menjadi corong propaganda kerajaan. Ini sesuatu yang menyedihkan, dan akan mengambil masa sebelum sumber media baharu muncul dan berkembang untuk mengisi ruang sebagai benteng kebebasan bersuara di negara ini. Seperti yang pernah dikatakan oleh wartawan terkenal dunia, Christiane Amanpour: “tugas media bukan untuk jatuh cinta kepada kuasa. Akan tetapi untuk memastikan bahwa kuasa itu bertanggungjawab.”

Dalam sebuah masyarakat demokratik, kita mesti bersedia dan akur dengan perbezaan pendapat, bahkan mengalu-alukan pandangan yang bertentangan. Kita mesti bersedia untuk terlibat dalam pertembungan idea yang sebenar. Malangnya, parti-parti politik yang sebelum ini mengkritik kerajaan yang terdahulu kerana terlibat dalam propaganda, kini melakukan perkara yang sama. Tidak lama lagi, mereka mungkin akan mengatasi kerajaan-kerajaan terdahulu dalam hal yang berkait dengan propaganda.

Kerajaan Madani perlu menunaikan janji-janji mereka secara jujur dan ikhlas. Malaysia hanya akan menjadi sebuah negara demokrasi yang benar-benar hidup dan mampan apabila media berada dalam keadaan bebas untuk menyiasat, meneliti, dan melaporkan.

Mr. Callistus Antony D'Angelus

International Labour Advisor

Social Protection Contributors Advisory Association Malaysia (SPCAAM)