Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kini mempunyai peluang untuk memulihkan semula kredibilitinya selepas enam tahun bergelut dengan krisis dalaman yang hampir melumpuhkan organisasi tersebut. Selama bertahun-tahun, MTUC dibelenggu oleh perebutan kuasa yang dilihat merosakkan, yang menyebabkan penghakisan pengaruh serta ketidakupayaannya untuk mewakili pekerja di negara ini secara yang sewajarnya.
Kepemimpinan baharu yang dipilih mesti lah mencari jalan untuk bekerjasama dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat secara dalaman. Mereka perlu sedar bahawa Kementerian Sumber Manusia sedang bertindak secara licik untuk mengekang pengaruh MTUC di kalangan pekerja. Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang diperkenalkan baru-baru ini telah memperlihatkan bahawa Kementerian Sumber Manusia telah menggunakan taktik pecah dan perintah, bila mana ianya mendapat sokongan dari segelintir aktivis kesatuan pekerja, yang sepatutnya menilai kembali akan pendirian mereka itu.
Tiada aktivis kesatuan yang boleh menggelar dirinya pejuang pekerja sekiranya mereka menyokong undang-undang yang digubal tanpa konsultasi yang sewajarnya dengan pusat pekerja negara di negara ini. Mereka itu hanyalah tidak lebih dari layak nya di gelar sebagai penyamar. Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang normal dan ada kalanya perlu, namun ia wajib diselesaikan dalam kerangka MTUC itu sendiri. MTUC mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani hal yang sedemikian, di mana Majlis Am adalah diberikan kuasa untuk membuat apa jua keputusan.
Satu hakikat bahawa Kementerian Sumber Manusia sering berpihak kepada para penyamar tersebut demi mempromosikan agendanya yang tidak beretika itu adalah amat jelas, dan para pekerja di negara ini perlu memahaminya. Tiada aktivis kesatuan pekerja yang tulen serta jujur, atau mana-mana warganegara yang bertanggungjawab, akan berkompromi dalam soal hak golongan pekerja bawahan yang memerlukan pembelaan.
Malah, pada zaman paling gelap di bawah kerajaan Barisan Nasional, sewaktu mereka sedang mabuk kuasa, mereka tidak pernah bertindak ke tahap yang sangat rendah lagi tidak bermaruah sepertimana yang dilakukan sekarang. Kerajaan Madani telah berjanji untuk membawa reformasi dalam bentuk tadbir urus yang baik serta berusaha mengangkat martabat golongan miskin. Malangnya, janji ini masih belum ditepati untuk dikecapi oleh para pekerja di negara ini. Keadaan sebaliknya, menjadi semakin memburuk.
MTUC perlu mengembalikan kredibilitinya di mata para pekerja. Ia perlu membina semula kekuatannya sebagai pendokong utama hak dan kepentingan pekerja serta menjadi pelindung sosial di negara ini.
MTUC mesti bersatu dan bersuara sebagai satu suara tunggal.Segala perbezaan pendapat dan pandangan wajar diperdebat dan dibincangkan dalam organisasi, walaupun keadaannya mungkin menjadi sengit! Namun, tiada ruang untuk mengalah dan berkompromi apabila hanya melibatkan kepentingan serta hak kaum pekerja. Para penyamar semestinya ditolak dan disingkirkan dari gerakan kesatuan pekerja. Bagi mereka yang berada dalam kerajaan yang menyangka bahawa mereka boleh memperdaya semua pihak serta memanipulasi gerakan kesatuan pekerja, ingatlah; sejarah telah membuktikan bahawa langkah itu akhirnya akan memakan diri mereka sendiri.