GENEVA, 3 Jun 2025: Kerajaan Malaysia dikecam hari ini oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diatas tuduhan menyekat kesatuan tersebut dari menyertai perwakilan rasmi negara di mesyuarat gerakan buruh dunia.
Senarai perwakilan MTUC ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) di Geneva, yang berlanjut dari Jun 3 hingga 12, telah dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia Malaysia pada 9 Mei – tiga hari lebih awal dari tarikh akhir, kata J. Solomon, pengerusi jawatankuasa khas bersama MTUC.
Bagaimanapun, pejabat Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, tidak memajukan 14 nama yang diserah oleh MTUC kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), yang mempengerusikan ILC, kata Solomon dalam kenyataan media. Kementerian juga mengabaikan peringatan berturut-turut yang dihantar oleh MTUC, beliau menambah.
Solomon menegaskan bahawa Malaysia telah menjadi ahli ILO sejak kemerdekaan pada tahun 1957 dan setiap tahun, delegasi tiga pihak yang mewakili kerajaan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan MTUC menghadiri ILC yang merupakan perhimpunan terbesar di dunia untuk kerajaan, majikan dan pekerja mereka.
"Tahun ini, buat pertama kalinya, Kementerian gagal menyertakan MTUC sebagai wakil pekerja dalam delegasi rasmi Malaysia," kata Solomon. "Ini adalah sungguh memalukan bagi Malaysia… terutamanya ketika ia kini menjadi Pengerusi ASEAN," kata Solomon. "Ini adalah tindakan yang menyamai negara mundur seperti Myanmar."
Pejabat Sim, Solomon menyatakan, mendaftarkan 40 pegawai kerajaan dan lapan wakil majikan, sambil mengabaikan MTUC.
Akibatnya, MTUC terpaksa mencari bantuan daripada Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) untuk menghadiri ILC sebagai pertubuhan bukan kerajaan di bawah ITUC, tanpa hak penuh sebagai perwakilan pekerja.
"Ini adalah pelanggaran jelas Perlembagaan ILO, yang memerlukan perwakilan tiga pihak yang lengkap," kata Solomon.
"Malaysia, sebagai negara berpendapatan sederhana, kini menonjol secara negatif di kalangan negara ASEAN yang gagal mematuhi Perlembagaan ILO," katanya, sambil menambah bahawa MTUC telah membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Kelayakan ILO mengenai pelanggaran tersebut.
Ini bukan kali pertama Sim dituduh melakukan pelanggaran buruh atau taktik mematahkan kesatuan. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berulang kali mengecam menteri itu sejak dua tahun lalu kerana didakwa memihak kepada majikan perbankan Malaysia untuk melemahkan pekerja dalam sektor yang dia diamanahkan untuk melindungi.
Solomon, yang juga setiausaha agung NUBE, telah mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat pelanggaran oleh Sim dan pegawai kementeriannya, termasuk mengingkari inisiatif buruh yang diarahkan oleh Pejabat Perdana Menteri.
(Petikan dari Cyber RT)