Pemansuhan Caj RM1 Pengeluaran ATM Antara Bank Adalah Wajar, Kata Profesor Ekonomi

 

Pemansuhan Caj RM1 Pengeluaran ATM Antara Bank Adalah Wajar, Kata Profesor Ekonomi

 

 

Adalah amat penting bagi kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kos sara hidup yang tinggi, dan salah satu langkah yang wajar ialah memansuhkan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank melalui ATM yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia. Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, menegaskan bahawa pemansuhan caj ini adalah berasas, memandangkan keuntungan besar yang diperoleh oleh pihak bank setiap tahun.

Beliau menjelaskan bahawa pemansuhan caj ini akan memberikan manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah, yang merupakan pengguna utama mesin pengeluaran automatik (ATM). "Menghapuskan caj ini akan mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah, terutamanya dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.”

"Jika syarikat swasta terlibat dalam urus niaga RM1 ini, ia boleh diibaratkan sebagai satu usaha monopoli yang mencipta keuntungan berlebihan.” Dr Yeah menekankan bahawa kerajaan perlu segera membuat perubahan bagi membantu rakyat. Beliau turut menegaskan bahawa menjadikan transaksi ATM lebih mampu milik adalah elemen penting dalam keterangkuman kewangan (financial inclusion). "Keterangkuman kewangan akan memberi lebih ramai individu akses kepada sistem kewangan dan mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah agar mereka tidak terpinggir.” Beliau menggesa kerajaan untuk menyiasat kemungkinan bahawa sistem pengeluaran ATM kini dimonopoli dan mencari penyelesaian bagi mengatasinya.

Kenyataan Dr Yeah ini dibuat susulan kempen tanda tangan rasmi yang dilancarkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) untuk memansuhkan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank melalui ATM. Kempen ini bertujuan untuk mengumpulkan sejuta tandatangan bagi diserahkan kepada Kementerian Kewangan, bagi menekankan impak besar caj ini terhadap golongan berpendapatan rendah.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, menegaskan bahawa walaupun RM1 nampak kecil kepada golongan yang breada, caj ini akan menjadi beban besar dalam jangka masa panjang bagi golongan yang kurang berkemampuan. "Caj RM1 ini mungkin tidak besar bagi sesetengah pihak, tetapi apabila dikumpul dari semasa ke semasa, jumlahnya menjadi signifikan dan membebankan golongan berpendapatan rendah.” Beliau turut menekankan bahawa majoriti individu yang terkesan dengan caj ini adalah daripada kumpulan B40 dan M40, yang sudah pun berdepan dengan tekanan kewangan yang tinggi.