KUALA LUMPUR - Orang ramai digesa menandatangani petisyen mendesak penghapusan fi berjumlah RM1 yang dikenakan bagi pengeluaran wang antara bank di Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) telah memulakan kempen berkenaan yang antara lain melibatkan institusi kewangan seperti Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank tempatan lain.
Menurut beliau, kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendapatkan sokongan orang ramai berhubung isu fi itu.
“Berhubung isu ini, MTUC menyokong penuh seruan NUBE untuk memansuhkan fi tersebut, yang jelas merupakan satu beban tambahan, terutama kepada pekerja berpendapatan rendah dan penduduk di kawasan pedalaman atau kawasan yang kurang akses kepada pelbagai perkhidmatan ATM,” katanya.
Jelas Kamarul, seruan untuk menandatangani petisyen terbabit turut ditujukan kepada semua Setiausaha Agung kesatuan gabungan di bawah MTUC.
“Pemansuhan fi ini akan mencerminkan keprihatinan institusi kewangan terhadap keadaan ekonomi yang semakin mencabar yang dihadapi oleh pekerja.
“Mereka ialah tulang belakang ekonomi negara yang akan memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.
Kamarul menarik perhatian, semua pihak wajar menyokong usaha dan dedikasi ditunjukkan NUBE dengan menandatangani petisyen berkenaan.
“NUBE komited untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyokong usaha ini dengan menandatangani petisyen.
Petisyen kempen ini boleh diakses secara dalam talian melalui laman web rasmi NUBE di https://www.nube.org.my/hapus_caj_rm_one dan di https://www.change.org/HapusCajRM1 di Change.org, serta melalui usaha lapangan di mana ahli NUBE akan berinteraksi dengan orang awam di seluruh negara,” katanya.
Getaran difahamkan, kempen terbabit mensasarkan untuk mengumpul sejuta tandatangan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan. - Getaran, 8 Januari 2025
Source : https://www.getaran.my/artikel/semasa/60869/tolong-tandatangan-petisyen-hapuskan-fi-rm1-mtuc